Pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus teruja apabila buat pertama kalinya berlakon bersama robot humanoid yang diberi nama Nexora dan Kancil.
Artikel Berkaitan: Tak Berani Ambil Risiko, Sabri Yunus Hanya Jawab Pertanyaan Isteri Sahaja – ‘Orang Lain Boleh Terus Tanya Kepada Ustaz’
Cabaran berlakon dengan robot

Menurut Sabri, 64, dia berpeluang berlakon dengan robot humanoid ketika mengarahkan sebuah filem pendek berjudul Keluarga Techlympics untuk mempromosikan program Malaysia Techlympics 2025.
Ini adalah pengalaman pertama saya berlakon dengan robot. Melihat kemampuannya yang mampu bergerak seperti manusia dan haiwan saya terkejut.
Kita biasa berlakon dengan manusia, tetapi dengan robot bagaimana mahu cipta emosi. Itulah cabarannya, sebagai pengarah saya perlu bijak menggantikannya dengan pergerakan robot mengikut jalan cerita.
Tambah Sabri, filem pendek yang menjalani penggambaran selama sehari di Sungai Besar, Kuala Selangor itu bersama isterinya, Angeline Tan secara tidak langsung telah membuka mindanya tentang kepentingan sains dan teknologi.
Sebenarnya, penglibatan saya adalah untuk promosikan program tersebut ketika pertandingan peringkat Zon Pantai Timur pada 11 dan 12 Ogos lalu.
Selepas melihat sendiri pelbagai rekaan dan ciptaan yang dibuat oleh pelajar sekolah dan golongan belia dalam Malaysia Techlympics, saya sedar bahawa kita tidak boleh menolak perkembangan sains dan teknologi termasuk dalam bidang seni.
Perkasa lagi STEM

Dalam pada itu, pemilik nama Muhammad Sabri Yunus berkata sebagai karyawan seni, dia rasa berbesar hati atas penghormatan yang diberikan untuk sama-sama terlibat dalam program seumpama ini.
Bagi saya idea untuk menggabungkan robot dan juga filem adalah sesuatu yang menarik. Ini kerana medium seni yang dibalut elemen hiburan lebih mudah untuk dekat dengan orang ramai.
Selain berhibur, penonton juga akan mendapat mesej yang ingin disampaikan iaitu untuk memperkasakan lagi bidang STEM kepada golongan muda.
Robot humanoid Nexora merupakan ikon terbaharu selepas robot Kancil untuk program Malaysia Techlympics yang memasuki tahun keempat penganjuranya.
Malaysia Techlympics adalah satu program yang dilaksana oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memberi pendedahan dan menarik minat anak muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menerusi program ini golongan muda berusia seawal tujuh tahun sehingga 30 tahun bertanding dalam pelbagai kategori antaranya, kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), robotik, dron, pengekodan dan pelbagai lagi.
Pertandingan peringkat kebangsaan Malaysia Techlympics bakal berlangsung pada 9 dan 10 November ini di MITC, Melaka.
The post Sabri Yunus Teruja Berlakon Dengan Robot – ‘Kita Biasa Berlakon Dengan Manusia’ first appeared on OHBULAN!.





