Baru-baru ini, isu penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) menjadi perhatian apabila terdapat perdebatan mengenai hukum pemberian ubat tersebut kepada golongan berisiko.
Artikel Berkaitan: Kepentingan Pendidikan Seksual Mengikut Kesesuaian Umur Anak
Artikel Berkaitan: Wanita Keguguran Jalani ‘Cuci Rahim’, Terkejut Disahkan Positif HIV – ‘Kau Curang, Aku Yang Kena’
Penggunaan PrEP

PrEP ialah sejenis ubat pencegahan yang diambil oleh individu yang belum dijangkiti HIV tetapi mempunyai risiko tinggi untuk terdedah kepada virus tersebut.
Apabila diambil secara konsisten mengikut nasihat doktor, PrEP dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan HIV dengan berkesan.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa penggunaan PrEP bagi tujuan mencegah jangkitan HIV adalah diharuskan, termasuk pemberiannya oleh pihak berkuasa dan pengamal perubatan kepada golongan yang berisiko.
Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan meneliti penerangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pandangan pelbagai pengamal perubatan yang menyokong dan membantah pelaksanaan dasar tersebut.
Menurut jawatankuasa berkenaan, PrEP pada asasnya ialah ubat pencegahan HIV dan pengambilannya tidak bercanggah dengan syarak selagi digunakan untuk tujuan melindungi kesihatan serta tidak mendatangkan kemudaratan.
Fatwa itu turut menjelaskan bahawa usaha mencegah penyakit merupakan tindakan yang dibenarkan dalam Islam. Walaupun terdapat kebimbangan bahawa PrEP boleh disalahgunakan oleh segelintir individu untuk menggalakkan perlakuan seks yang dilarang, risiko penularan HIV yang lebih meluas dianggap sebagai mudarat yang lebih besar dan perlu ditangani.
Haram jika tujuan maksiat

Jawatankuasa itu juga menegaskan bahawa HIV tidak hanya menjejaskan golongan tertentu, sebaliknya boleh menjangkiti sesiapa sahaja termasuk individu yang berada dalam hubungan perkahwinan yang sah sekiranya pasangan mereka dijangkiti virus tersebut.
Sehubungan itu, pemberian PrEP kepada individu yang berisiko dijangkiti HIV adalah dibenarkan. Namun, penggunaan ubat tersebut dengan niat untuk memudahkan atau menggalakkan perlakuan seks bebas dan seks songsang tetap dianggap haram.
Namun PrEP wajar dipertimbangkan kepada individu yang berpotensi menjadi mangsa jangkitan HIV, termasuk isteri yang mempunyai keraguan terhadap status kesihatan pasangan atau pasangan kepada bekas penagih dadah yang sedang menjalani proses pemulihan.
Selain aspek pencegahan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis turut menggesa agar mekanisme perlindungan terhadap mangsa HIV diperkasakan, termasuk memudahkan urusan perceraian atau perpisahan bagi pasangan yang berdepan risiko jangkitan. Mahkamah syariah juga disaran mengendalikan kes-kes berkaitan secara lebih cekap dan progresif.
Pada masa sama, jawatankuasa itu menegaskan bahawa pendirian menolak amalan seks songsang, khususnya homoseksual, perlu terus dinyatakan secara terbuka oleh negara agar pemberian PrEP tidak disalah tafsir sebagai sokongan terhadap perlakuan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Sumber: Jawatankuasa Mufti Perlis
The post PrEP Diharuskan Untuk Cegah HIV, Haram Jika Digunakan Bagi Tujuan Seks Bebas first appeared on OHBULAN!.





