Menjadi wanita yang tabah bukan bermaksud perlu kelihatan kuat setiap masa.
Bagi usahawan selebriti Noor Nabila, ada ketika dalam hidup seseorang perlu mengakui dirinya sedang melalui fasa sukar sebelum mencari kekuatan untuk bangkit semula.
ARTIKEL BERKAITAN: Noor Nabila Bakal Kahwin Dengan Ameer Aiman Tahun Ini – ‘Tengah Buat Persiapan’
ARTIKEL BERKAITAN: ‘AA Pandai Memasak, Hormat Saya & Sedang Rancang Perniagaan Makanan Jepun Bersama’ – Noor Nabila
Cabaran Sebagai Ibu Tunggal
Sebagai seorang ibu tunggal, Nabila memahami tekanan apabila banyak perkara perlu difikirkan sendiri, terutama melibatkan anak, keluarga, kehidupan dan masa depan.
Menurut kakak kepada selebriti popular Neelofa itu, perasaan keseorangan dan takut melakukan kesilapan merupakan antara cabaran yang mungkin dihadapi wanita selepas melalui perubahan besar dalam kehidupan.

“Saya tahu ibu tunggal akan rasa sangat keseorangan sebab banyak benda kena fikir seorang diri.
“Tapi jangan jadikan perkara itu sebagai penghalang sampai kita rasa kita tak mampu. Setiap hari kita kena beri kata-kata positif kepada diri sendiri dan percaya kita boleh buat.”
Bagi wanita yang mahu memulakan perniagaan pula, Nabila percaya keberanian perlu disertai dengan persediaan.
Katanya, seseorang perlu membuat penyelidikan, memahami risiko dan mendapatkan pandangan daripada individu yang lebih berpengalaman sebelum membuat keputusan.
“Ibu tunggal mungkin akan fikir banyak sebab kita takut untuk buat satu lagi kesilapan. Jadi kalau nak buat bisnes, kena buat research dan kalau boleh, cari orang yang kita boleh rujuk dan minta nasihat.”
Cari Sesuatu Untuk Bangkit Semula
Nabila sendiri tidak terlepas daripada melalui beberapa fasa di mana dirinya berada dalam keadaan ‘down’.
Namun pengalaman mengajarnya bahawa setiap orang perlu mencari sesuatu yang mampu mengalihkan fokus daripada kesedihan dan membantu membina semula dirinya.

Untuk Nabila, senaman menjadi salah satu jalan tersebut.
“Saya memang pernah melalui beberapa fasa down. Alhamdulillah saya ada support system keluarga yang sangat kuat. Kali terakhir saya lalui fasa terbabit, saya mula bersenam, pergi gimnasium dan fokus kepada diri sendiri.
“Dari situ saya rasa mindset saya berubah. Saya sedar saya kena dahulukan diri sendiri dan cuba keluar daripada fasa itu.”
Menurut ibu kepada cahaya mata comel bernama Jebat Jayden itu, kaedah untuk bangkit berbeza bagi setiap individu.
Ada yang menumpukan perhatian kepada kerjaya atau perniagaan, ada yang melakukan perubahan dalam kehidupan, manakala dirinya memilih untuk menjaga kesihatan dan memberikan perhatian kepada diri sendiri.

Pengalaman tersebut turut membuatkan Nabila semakin memahami konsep self-love.
Katanya, wanita sering terbiasa meletakkan keperluan orang lain terlebih dahulu sehingga diri sendiri menjadi perkara terakhir yang diberikan perhatian.
“Secara semula jadi wanita memang macam itu. Kita akan letakkan semua orang dahulu dan diri sendiri paling akhir.
“Tapi apabila kita melalui pengalaman hidup dan semakin matang, kita akan faham pentingnya untuk letakkan diri sendiri dahulu. Sebab diri kita yang kena okey terlebih dahulu.”
Nasihat sama turut sering diberikan kepada wanita muda dan adik-adiknya, walaupun Nabila mengakui sesetengah perkara hanya benar-benar dapat difahami selepas seseorang melalui pengalaman sendiri.
“Bila kita lalui fasa-fasa kehidupan, baru kita faham apa maksud self-love dan bila kita perlu letakkan full stop. Kalau saya boleh nasihat, cuba sebaik mungkin untuk letakkan diri sendiri di tempat pertama.”
Dari Kekuatan Diri Kepada Langkah Baharu Dalam Bisnes
Pada masa sama, Nabila terus bergerak sebagai seorang usahawan dengan memberi fokus kepada beberapa perniagaan yang diusahakannya.
Antara yang kini mendapat perhatiannya ialah Nilofa Banana Milk, yang kembali ke pasaran selepas pengeluarannya dihentikan pada Jun 2022 akibat kesan pandemik COVID-19.

Produk berkenaan mula kembali dijual di seluruh negara pada 24 Julai 2026 sebelum pelancaran rasminya berlangsung di The Curve, Petaling Jaya, semalam.
“Sekarang antara fokus utama saya ialah Nilofa Banana Milk. Saya masih banyak belajar dan gunakan pengalaman daripada bisnes sebelum ini untuk membawa Nilofa berkembang dengan lebih baik.”
Nilofa Banana Milk sebelum ini merekodkan jualan melebihi tujuh juta unit sejak dilancarkan pada 2019. Untuk fasa baharu ini, Nilofa menyasarkan jualan sekitar empat juta unit menjelang akhir 2026 selain membangunkan rangkaian eksklusif 50 Rakan Niaga di seluruh negara.
Meriah majlis di hari Ahad yang turut dihadiri oleh ahli keluarga Lofa & Bella
#xtramy #xtratonton #xtrapedia #xtrapediaKR ♬ original sound – XTRA Jenama tempatan itu juga sudah memasuki pasaran Singapura dan Brunei, dengan Asia Tenggara serta Timur Tengah dikenal pasti sebagai antara sasaran pengembangan pada masa hadapan.

Bagi Nabila, perjalanan sebagai ibu, wanita dan usahawan mungkin datang dengan cabaran berbeza, tetapi setiap pengalaman akhirnya mengajarnya perkara yang sama.
Sebelum mampu menjaga banyak perkara dan orang di sekeliling, seseorang perlu memastikan dirinya sendiri cukup kuat untuk terus melangkah.
The post Noor Nabila Temui Kekuatan Sebagai Ibu, Usahawan & Wanita Dengan Mendahulukan Diri Sendiri – “Saya Juga Pernah Lalui Fasa Down” first appeared on OHBULAN!.





