Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyeru para pembayar cukai agar melakukan persediaan awal bagi menghadapi musim e-Filing bagi Tahun Taksiran 2025 yang dibuka pada 1 Mac 2026.
Jangan tangguh, hantar tepat waktu

Menerusi satu temu bual bersama Bernama Radio, Pegawai LHDN Jabatan Khidmat Korporat, Nur Azureen Ismail, mengingatkan pembayar cukai agar menyediakan dokumen sokongan dan resit dengan lengkap bagi memastikan urusan e-Filing selesai tepat pada masanya bagi mengelakkan penalti.
1 Mac 2026 dah mula. Sediakan dokumen e-Filing, hantar e-Filing tepat pada masa dan (kami) juga boleh bayar tepat pada masa.
Ekakkan sebarang bentuk penipuan atau pemalsuan dokumen kerana jika diaudit dan didapati bersalah, penalti yang dikenakan adalah tinggi. Kalau tak bayar, entah-entah ada sekatan perjalanan ataupun tindakan undang-undang lain
Dalam pada itu, Azureen turut berkongsi berita baik mengenai beberapa peningkatan pelepasan cukai bagi Tahun Taksiran 2025 yang bertujuan mengurangkan beban rakyat.
Antaranya kenaikan pelepasan tambahan bagi anak orang kurang upaya (OKU) yang kini mencecah RM8,000 berbanding RM6,000 sebelum ini.
Selain itu, pelepasan bagi gaya hidup sukan juga telah digandakan kepada RM1,000 yang kini merangkumi skop bayaran keahlian gimnasium dan yuran pertandingan untuk kegunaan diri sendiri, pasangan, anak-anak, malah ibu bapa.
LHDN turut memberikan perhatian khusus kepada penjagaan warga emas dengan memperluaskan skop pelepasan rawatan sehingga RM8,000 setahun meliputi datuk dan nenek yang bermastautin di Malaysia.
Pelepasan itu termasuk perbelanjaan rawatan perubatan, rawatan pergigian, pemeriksaan kesihatan penuh seperti vaksinasi serta kos penjaga, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Bagi memastikan tuntutan dibuat dengan tepat tanpa sebarang kesilapan, pembayar cukai dinasihatkan untuk merujuk Ketetapan Umum 7/2025 yang tersedia di laman web rasmi LHDN.
Sumber: Bernama
The post Musim E-Filing Bermula 1 Mac, LHDN Ingatkan Pembayar Cukai Sedia Dokumen Awal first appeared on OHBULAN!.





