Di sebalik dapur restoran yang sibuk, ada satu sisi lain McDonald’s Malaysia yang mungkin korang tak tahu—ia bukan sekadar tempat cari kerja, tapi tempat membina masa depan.
Melalui Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, lebih 5,000 anak muda dari pelbagai latar belakang telah dilatih menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang perkhidmatan makanan.
Baru-baru ini, Majlis Konvokesyen Kali ke-5 menyaksikan lebih 1,000 graduan diraikan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian sambil bekerja. Bukan calang-calang usaha ni!

Akademi ini bukan je mengiktiraf belia dengan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), tapi turut beri peluang untuk mereka yang mungkin terlepas peluang dalam sistem pendidikan arus perdana – antaranya pelajar B40, OKU, Orang Asli dan asnaf.
Tapi apa yang buat program ni betul-betul istimewa? Jawapannya ada dalam kisah-kisah menyentuh hati dari para graduan ini sendiri.
“Tak Sangka Saya Dapat Anugerah Pelajar Terbaik” – Raidi Hamizan, Setapak

Anak sulung daripada tiga beradik, Raidi Hamizan tak pernah bayangkan yang beliau akan berdiri atas pentas konvokesyen dan terima Anugerah Perantis Cemerlang Keseluruhan. Semuanya bermula selepas beliau ternampak iklan akademi ni dalam grup WhatsApp sekolah.
“Saya terus mohon dan dipanggil untuk sesi penerangan. Lepas tahu tentang kelebihan program ni, saya terus yakin nak masuk,” katanya yang kini bertugas sebagai ketua pasukan (crew leader) di salah satu cawangan McDonald’s.
Apa yang paling menyentuh hati, Raidi bukan saja belajar banyak benda baharu, tapi turut jadi contoh kepada adik-beradiknya.
“Lepas saya naik pentas, adik saya terus menangis. Dia cakap dia bangga sangat dengan saya,” katanya sebak.
Kini, Raidi merancang untuk sambung pelajaran dalam bidang Diploma Pengurusan Halal, dengan harapan suatu hari nanti dapat kembali ke akademi sebagai tenaga pengajar.
“Pernah Hilang Ingatan, Tapi MekDi Beri Peluang Kedua” – Hfiy Haikal, Sepang

Bagi Muhammad Hfiy Haikal, setiap saat di atas pentas konvokesyen adalah momen kemenangan peribadi. Pernah terlibat dalam kemalangan serius hingga koma sebulan dan mengalami gangguan ingatan, beliau mengakui bahawa beliau hampir berputus asa.
“Saya tak ingat langsung pasal kerja atau pelajaran. Tapi ibu bapa dan rakan sekeliling bantu saya perlahan-lahan,” ceritanya.
Walaupun terpaksa berehat selama tiga bulan untuk proses pemulihan, McDonald’s tetap memberi sokongan dan peluang kepada beliau untuk meneruskan semula pengajian di Akademi Vokasional McDonald’s. Berkat semangat dan keazaman, beliau akhirnya berjaya menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.
Kini, beliau kembali yakin, lebih berdikari dan merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Terima kasih McDonald’s sebab percaya pada kebolehan saya. Hari ini saya berjaya tamatkan pelajaran walaupun pernah hilang ingatan.”
“Saya Ada Autisme Tapi Akademi Ini Percaya Saya Boleh Berjaya” – Nur Farrah Adibah, Kuala Berang

Nur Farrah Adibah, 21, bukan sahaja seorang gadis cekal dari Terengganu, malah contoh bagaimana peluang yang betul mampu mengubah masa depan. Mengalami autisme dan masalah pembelajaran sejak kecil, beliau pernah berasa kurang yakin untuk bersaing.
Namun, dorongan daripada guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan keluarga membuka laluan untuk beliau menyertai Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.
“Di sini, cikgu sangat sabar. Mereka tak akan berhenti ajar sampai kami betul-betul faham,” katanya.
Walaupun pernah gagal, beliau berpegang pada kata-kata semangat yang diajar di akademi: “Gagal sekali tak apa, jangan gagal selamanya.”
Dengan pendapatan yang diterimanya di McDonald’s, beliau membantu keluarga dan yakin bahawa satu hari nanti beliau mampu memegang jawatan yang lebih besar.
“Saya harap dengan sijil ini, saya boleh buat kerja yang lebih baik nanti.”
“Dulu Takut Nak Keluar Dari Kampung, Sekarang Saya Bangga Dapat Wakili Komuniti Saya” – Wak Jenny, Tapah

Berasal dari komuniti Orang Asli suku Semai di Tapah, Wak Jenny Anak Perempuan Azman tak pernah bayangkan dirinya akan menjadi ketua pasukan (crew leader) di McDonald’s Putra Heights dan memimpin pasukan seramai lapan orang.
“Ibu bapa suruh saya keluar dari kampung untuk cari pengalaman. Mula-mula memang takut sebab tak pernah jauh dari rumah,” katanya jujur.
Semuanya berubah selepas beliau hadir sesi motivasi McDonald’s di Perak dan nekad untuk mencuba nasib.
“Saya bangga dapat jadi wakil komuniti saya. Sekarang saya berkawan dengan orang dari pelbagai kaum, belajar banyak benda baru dan paling penting, dapat bantu keluarga.”
Wak Jenny kini merancang untuk sambung pelajaran di McDonald’s, dan nak galakkan lebih ramai belia Orang Asli turut sertai program ini. “Jangan takut untuk ubah hidup. Akademi ini bantu saya percaya yang saya mampu.”
McDonald’s Bukan Sekadar Restoran – Ia Adalah Sekolah Kehidupan
Dengan yuran ditanggung sepenuhnya, termasuk elaun bulanan, tempat tinggal, makan minum, perlindungan insurans dan caruman KWSP, perantis bukan saja belajar kemahiran, mereka juga dilatih untuk berdikari, jadi pemimpin dan yakin dengan masa depan.

Seperti kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, “Akademi ini bukti bahawa McDonald’s adalah institusi pembelajaran sepanjang hayat. Kami bangga kerana 80% graduan kami memilih untuk terus bina kerjaya bersama kami.”
Ramai yang bermula sebagai perantis, kini telah melonjak menjadi Pengurus Restoran, Penolong Pengurus Restoran, Ketua Kru dan pelbagai lagi.
Dan itulah hakikatnya di McDonald’s, segalanya bermula dengan satu peluang.
Nak Sertai Akademi Vokasional McDonald’s?
Kalau korang berminat untuk jadi sebahagian daripada kisah inspirasi ni, boleh layari atau hantar e-mel ke MY-Recruitment@my.mcd.com
Jangan tunggu lagi, kerjaya korang boleh bermula dari sini. Sebab di McDonald’s, kerja bukan sekadar kerja. Ia adalah tentang masa depan.
The post Lebih Daripada Sekadar Kerja – Ia Tentang Masa Depan: 4 Kisah Inspirasi Graduan Akademi Vokasional McDonald’s first appeared on OHBULAN!.





