Pasangan jutawan kripto Rusia, Roman Novak dan isterinya, Anna ditemui mati dalam keadaan mengerikan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mayat dikerat, ditanam

Memetik laporan Daily Mail, pasangan itu dilaporkan hilang di UAE sebelum mayatnya ditemui dikerat kepada beberapa bahagian dan ditanam di padang pasir berhampiran Dubai, sebulan kemudian.
Mereka kali terakhir dilihat dalam perjalanan ke Hatta, sebuah pusat peranginan pergunungan di Dubai, untuk bertemu dengan individu yang disangka ‘pelabur’.
Siasatan mendedahkan bahawa pada hari kehilangan, pasangan itu dibawa oleh pemandu peribadi mereka ke sebuah tempat letak kereta berhampiran tasik di Hatta. Di situ, mereka dilaporkan telah bertukar ke kenderaan lain untuk meneruskan baki perjalanan.
Tidak lama selepas itu, Novak sempat menghantar mesej cemas kepada beberapa kenalannya. Dalam mesej itu, dia mendakwa sedang ‘terkandas di pergunungan di sempadan Oman’ dan memerlukan wang tunai sebanyak 152,000 pounds (kira-kira RM860,000).
Difahamkan, telefon bimbit pasangan itu dikesan aktif selama dua hari di Hatta, sebelum isyaratnya dikesan di Oman dan kemudiannya di Cape Town, Afrika Selatan, sebelum lenyap sepenuhnya pada awal Oktober.
Novak pernah didakwa kesalahan pecah amanah

Susulan daripada itu, keluarga mangsa tampil membuat laporan polis dan siasatan akhirnya membawa kepada penemuan mayat Roman dan Anna yang telah dikerat-kerat dan ditanam di sebuah kawasan gurun.
Laporan agensi berita Fontanka mendedahkan bukti forensik yang ditemui seperti kesan darah di sebuah vila, di dalam kereta sewa, beberapa bilah pisau berhampiran lokasi jenayah dan sehelai kemeja-T milik salah seorang penganjur yang tertinggal.
Tiga warga Rusia kini telah ditahan untuk siasatan lanjut antaranya Konstantin Shakht, 53, iaitu eorang bekas penyiasat pembunuhan yang kemudiannya menjadi penyeludup dadah, Yury Sharypov, 46, iaitu bekas askar yang berjuang untuk Rusia dalam perang di Ukraine dan Vladimir Dalekin, 45, seorang bekas askar yang telah diberhentikan.
Tragedi ini turut mendedahkan sisi gelap kehidupan Roman Novak. Dia didakwa atas penipuan lebih pounds38 juta (kira-kira RM215 juta) daripada pelabur kripto, kebanyakannya dari China dan negara-negara Timur Tengah, dengan alasan pembangunan perniagaan.
Novak sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan pecah amanah. Tragedi ini menyebabkan anak-anak pasangan itu kini menjadi yatim piatu dan kini di bawah jagaan ibu bapa Anna.
Sumber: Daily Mail
The post Jutawan Kripto & Isteri Mati Diker*t, Mayat Ditanam Di Padang Pasir first appeared on OHBULAN!.





