Industri seni tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pelakon dan penyanyi, Isma Aliff pada pagi Rabu.
Salam takziah

Memetik laporan Mstar, Allahyarham atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8.30 pagi di kediamannya yang terletak di Kampung Melayu Ampang, Selangor.
Berita duka tersebut dikongsi oleh adik Allahyarham, Angah, yang memaklumkan bahawa kesihatan bintang berusia 61 tahun itu semakin merosot sejak kebelakangan ini.
Menurut Angah, Allahyarham ditemui meninggal dunia di tempat tidurnya sebelum disahkan oleh pihak perubatan.
Ya, Isma sudah meninggal dunia. Dia pergi di atas katilnya pagi tadi.
Dia sakit sudah lama. Cuma seminggu ini kesihatannya agak merosot.
Terdahulu, pada penghujung tahun 2023, Allahyarham dilaporkan pernah menerima rawatan di hospital akibat masalah jangkitan kuman yang menjejaskan fungsi jantung serta paru-parunya.
Mula menapak dalam dunia seni sejak tahun 1986, Isma dikenali sebagai artis serba boleh yang aktif sebagai pelakon, penyanyi, dan pengacara.
Sepanjang kerjayanya, Isma telah membintangi pelbagai naskhah ikonik termasuklah filem Mawar Merah, Sayang Ibu, dan Kembar Siam.
Untuk rekod, Isma mendirikan rumah tangga dengan Norha Rafie dan mereka memiliki dua orang cahaya mata bersama.
Sumber: Mstar
The post Isma Aliff Meninggal Dunia Pada Usia 61 Tahun first appeared on OHBULAN!.





