Kemeriahan lagu Raya Pum Pang kembali dirasai tahun ini dengan versi terbaharu yang bertajuk Raya Pum Pang Lagi, iaitu hasil nyanyian daripada pelakon, penyanyi dan usahawan tersohor, Fazura.
Artikel Berkaitan: Azza Elite Puji Dedikasi Fazura Utamakan Anak & Keluarga – ‘Awak Idola Saya’
Artikel Berkaitan: Netizen Tertanya-Tanya Rahsia Wajah Awet Muda, Fazura Kongsi Tips – ‘Jangan Pernah Cakap Dah Makin Tua’
Bermula daripada nyanyian spontan dari Fatima

Lagu yang suatu ketika dahulu menjadi penghibur suasana perayaan kini tampil dengan sentuhan lebih peribadi apabila Fazura menjemput insan paling istimewa dalam hidupnya, iaitu anaknya Fatima, untuk turut serta menjayakannya.
Selain itu, hasil kolaborasi antara ibu dan anak ini menjadikan lagu Raya yang digemari ramai ini tampil dengan suntikan emosi serta memori baharu, sekali gus menjadikannya lebih manis dan sarat makna sebenar bulan Syawal.
Lebih daripada sekadar kemas kini lagu, Raya Pum Pang Lagi lahir daripada detik-detik sederhana di rumah yang akhirnya bertukar menjadi kenangan bermakna buat Fazura sebagai seorang ibu.
Ianya bermula sebagai nyanyian spontan daripada seorang anak dan kini berkembang menjadi rakaman rasmi yang bakal menyemarakkan suasana Aidilfitri.
Sejujurnya, idea ni datang secara sangat natural.
Tahun lepas bila ‘Raya Pum Pang’ keluar, Fatima memang selalu ikut menyanyi sekali dekat rumah.
Dia hafal lirik, siap buat gaya sendiri.
Dari situ saya rasa, kenapa tak jadikan memori kecil itu sebagai sesuatu yang lebih bermakna?
‘Raya Pum Pang Lagi’ ini bukan sekadar versi baru, tapi versi yang ada kenangan kami berdua sebagai ibu dan anak.
Seterusnya, keikhlasan di sebalik penciptaan lagu raya ini menjadi elemen utama yang membezakan Raya Pum Pang Lagi daripada lagu-lagu perayaan yang lain.
Lagu ini bukan sahaja meraikan kemeriahan di hari Raya, tetapi ia juga menyingkap detik kasih sayang, kebersamaan dan memori keluarga yang sering tercipta secara semula jadi.
Momen yang indah

Baru-baru ini, Fazura dan Fatima turut mencuri perhatian apabila tampil bersama di pentas Jakel Fashion Show 2026, mempamerkan ikatan rapat ibu dan anak di hadapan khalayak ramai.
Dalam pada itu, penampilan mereka berdua mencetuskan spekulasi tentang kemungkinan kolaborasi istimewa, namun Fazura menegaskan bahawa lagu ini lahir daripada perasaan dan bukan semata-mata rancangan komersial.
Momen itu memang sangat manis, sebab kami dapat tampil bersama sebagai ibu dan anak di pentas yang besar.
Tapi lagu ini sebenarnya lahir daripada rasa peribadi saya tentang hari Raya dan keluarga.
Kalau ada jenama yang turut sama meraikan nilai kekeluargaan dan tradisi seperti Jakel, itu satu bonus yang sangat indah.
Tapi inti lagu ini tetap tentang kasih sayang, memori, dan suasana hari Raya dalam keluarga kami.
Antara detik paling bermakna sepanjang proses rakaman lagu ini adalah sewaktu di studio, apabila Fatima berdiri di hadapan mikrofon buat pertama kali bukan lagi sekadar bermain-main, sebaliknya sebagai sebahagian daripada sebuah karya rasmi.
Bagi Fazura, pengalaman itu amat menyentuh hati.
Masa sesi rakaman tu memang sangat comel.
Fatima nyanyi dengan penuh yakin dan bangga, macam dia betul-betul tahu dia sebahagian daripada lagu ini.
Sebagai ibu, tengok dia berdiri depan mikrofon dengan semangat macam itu memang buat saya rasa sangat tersentuh dan emosional.
Bagi saya, momen itu lebih daripada sekadar rakaman lagu, ia satu kenangan indah antara saya dan anak yang akan saya simpan sampai bila-bila.
Di samping itu, dengan lagu Raya Pum Pang Lagi, Fazura berharap lagu ini mampu menjadi latar bagi memori-memori baru yang tercipta di setiap rumah sepanjang Aidilfitri.
Sehubungan itu, lagu ini menyampaikan mesej bahawa makna sebenar Raya bukan terletak pada kesempurnaan luaran, tetapi pada insan-insan yang berkongsi detik istimewa bersama.
Saya harap bila orang dengar lagu ini, mereka teringat rumah, gelak tawa anak-anak, dan momen kecil yang mungkin selalu kita terlepas pandang.
Raya bukan tentang baju cantik atau gambar sempurna semata-mata, tapi tentang siapa yang ada di sebelah kita masa itu.
Dengan gabungan melodi ceria, lirik yang dekat di hati, serta kisah peribadi di sebalik pembuatannya, Raya Pum Pang Lagi berpotensi menjadi simbol kasih sayang antara ibu dan anak, dan mengajak pendengar menghargai detik-detik kecil serta meraikan erti sebenar kebersamaan pada pagi Syawal.
Lagu ini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 20 Februari 2026.
The post Fazura Lancar Lagu Kolaborasi Bersama Fatima Menerusi ‘Raya Pum Pang Lagi’ first appeared on OHBULAN!.





