Di sebalik kilauan cinta, tersimpan racun yang tak terlihat. Begitulah kisah yang dibawa menerusi Tonton Original Series: Toksik Cinta, naskhah baharu yang penuh dengan konflik di platform Tonton, membongkar sisi gelap cinta di sebalik glamor dunia hiburan.
Artikel Berkaitan: Riena Diana Tak Kisah Jadi Nombor Dua Di Hati Keith Foo – ‘Anak Dia Nombor Satu’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Erma Fatima Puji Aqasha ‘Real Actor’ – ‘Ramai Tolak Watak Ditawar Sebab Tidak Sanggup Potong Rambut’
Kisah rumah tangga

Arahan Pali Yahya dengan skrip oleh Erma Fatima, drama ini menggabungkan elemen melodrama, thriller rumah tangga dan jenayah, menjanjikan perjalanan sarat emosi dan permainan psikologi yang mendalam.
Selepas kejayaan drama Keluarga Itu, Erma Fatima menampilkan sisi evolusinya sebagai penerbit dan penulis yang kini lebih berani menyelami gelapnya psikologi manusia. Dengan gaya penceritaan penuh emosi dan realiti kehidupan yang menjadi identiti karyanya, Toksik Cinta mengupas batas antara cinta dan obsesi, serta bagaimana keinginan untuk memiliki boleh berubah menjadi racun yang memusnahkan.
Menampilkan barisan pelakon berkarisma seperti Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam, Toksik Cinta hadir dengan naskhah penuh emosi dan konflik yang mendalam.
Konflik perkahwinan
View this post on Instagram
Kisah bermula dengan Alfi (Aqasha), seorang pengarah filem ternama yang berkenalan dengan Karmila (Riena Diana), pempengaruh dan pelakon meningkat naik di set penggambaran. Cinta mereka berputik hingga ke jinjang pelamin, namun segalanya musnah apabila Karmila memfailkan penceraian selepas mendakwa dirinya didera. Dengan bantuan peguamnya, Amsyar (Keith Foo), Karmila membawa kes itu ke mahkamah.
Toksik Cinta bukan sekadar kisah rumah tangga yang retak, tetapi membawa penonton menyelami batas antara cinta dan obsesi, mangsa dan pemangsa, serta kebenaran dan persepsi.
Mengulas mengenai wataknya, Riena Diana menyifatkan Karmila bukan sekadar wanita yang keliru, tapi dia dikhianati dan teraniaya oleh lelaki.
Masa saya bawakan watak Karmila, saya betul-betul cuba faham dari mana datangnya luka dia.
Dia datang daripada keluarga yang berantakan dan semua pengalaman tu buat dia keras luarannya tapi rapuh di dalam. Toksik Cinta bagi saya adalah kisah tentang hidup Karmila yang berliku dan penuh ujian, bagaimana cinta dan luka silam mengubah cara dia melihat dunia.
Secara keseluruhannya, Toksik Cinta bukan sekadar kisah cinta atau konflik rumah tangga, tetapi cerminan kepada realiti sosial yang jarang didedahkan, tentang bagaimana kasih boleh bertukar menjadi bayang yang menghantui apabila diselubungi ego, dendam dan keinginan untuk memiliki.
Drama ini mengajak penonton menilai semula siapa sebenarnya mangsa dan siapa pemangsa dalam hubungan yang penuh luka dan manipulasi.
Untuk info, drama bersiri 30 episod ini bakal menemui penonton mulai 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton.
The post Erma Fatima Bawa Penonton Selami Sisi Gelap Cinta & Obsesi, ‘Toksik Cinta’ Gabung Elemen Melodrama & Thriller first appeared on OHBULAN!.





