‘Buku Pink’ atau rekod kesihatan ibu merupakan dokumen penting yang akan diterima oleh setiap wanita hamil di Malaysia semasa mendaftar pemeriksaan kehamilan mereka.
Dokumen ini mengandungi pelbagai maklumat kesihatan berkaitan perkembangan ibu serta kandungan.
Artikel Berkaitan: Peguam Perjelas ‘Buku Pink’ Ada Data Peribadi & Sulit – ‘Mana Boleh Minta Sesuka Hati’
Artikel Berkaitan: Suami Tampil Buat Laporan Polis, Isteri Dituduh Mencuri Oleh Penyelia Pasar Raya – ‘Maruah Wanita Mengandung Dipijak Dengan Tuduhan Yang Tiada Bukti’
Penting untuk ibu hamil

‘Buku Pink’ diibaratkan seperti kad pengenalan kedua bagi wanita hamil yang perlu dijaga dengan baik dan dibawa bersama kemana-mana sahaja sepanjang tempoh kehamilan.
Hal ini kerana, buku ini bukan sekadar rekod pemeriksaan biasa tetapi mengandungi maklumat penting seperti tarikh jangkaan bersalin, kumpulan darah, sejarah kehamilan terdahulu, penyakit yang dihadapi, alahan, keputusan ujian darah, status kesihatan kandungan, ubat-ubatan yang diambil dan tahap risiko kehamilan.
Bukan itu sahaja, ‘Buku Pink’ juga mempunyai tagging atau kod warna yang akan membantu memudahkan petugas kesihatan mengenalpasti tentang kandungan dan keadaan si ibu jika berlaku sebarang kecemasan atau ketika mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.
Ketika berada di dalam situasi kecemasan, ‘Buku Pink’ akan menjadi rujukan terutama semasa si ibu berada dalam keadaan kritikal atau memerlukan rawatan segera.
Justeru itu, ‘Buku Pink’ perlu dibawa kemana-mana sahaja termasuk ketika menghadiri pemeriksaan, mendapatkan rawatan kecemasan, bercuti atau pulang ke kampung halaman terutama apabila si ibu menghampiri tarikh bersalin.
Selain itu, dokumen tersebut akan memudahkan pihak perubatan memberikan rawatan tepat dan efisien. ‘Buku Pink’ adalah penting bagi memastikan diagnosis yang diberikan kepada si ibu adalah menyeluruh.
Data tak boleh didedah

Walau bagaimanapun, ‘Buku Pink’ adalah sebuah dokumen peribadi dan bersifat sulit, maka dinasihatkan agar para ibu hamil tidak mendedahkan data berkenaan kepada mana-mana pihak.
Maklumat yang terkandung di dalam ‘Buku Pink’ bukan sahaja berkenaan kandungan dan kesihatan tetapi turut mempunyai infomasi sensitif berkenaan si ibu seperti nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon dan lain-lain.
Konklusinya, membawa ‘Buku Pink’ ke mana-mana adalah satu langkah berjaga-jaga yang amat penting, selain memudahkan urusan pemeriksaan berkala. Dalam soal kesihatan ibu dan bayi, perkara ini mampu memberi impak yang besar.
Sumber: Public Health Malaysia, Klinik Ajwa
The post ‘Buku Pink’ Dianggap Seperti IC Kedua, Ini Sebab Mengapa Ibu Hamil Perlu Sentiasa Bawa first appeared on OHBULAN!.





