
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq memohon doa orang ramai agar urusannya dipermudahkan bagi kes rayuan terhadap sabitan dan hukuman empat tuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang bakal berlangsung pada Khamis.
Mohon doa

Menerusi hantaran di Instagram, Saddiq berkata dia berserah dengan segala keputusan yang bakal diputuskan oleh mahkamah.
Berani kerana benar. Esok adalah hari penentu di Mahkamah. 5 tahun saya tunggu, 5 tahun saya sabar, kini masanya untuk kebenaran dibela.
Saya tidak meminta lebih tapi berharap doa dari semua. Kerana tiada senjata yang lebih kuat daripada doa Allah.
Dalam pada itu, Saddiq berkata, dia akan berusaha membersihkan namanya dan membuktikan kebenaran.
Saya tetap memilih untuk membersihkan nama di mahkamah, bukan dengan jalan pintas dan bukan dengan tawaran mudah. Prinsip bukan untuk dijual beli, kebenaran bukan untuk ditangguh-tangguhkan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wargamaya mendoakan yang terbaik untuk Saddiq dan berharap segala proses dipermudahkan.
Mahkamah Rayuan pada 20 Mac lalu menangguhkan ke 17 April bagi menyambung hujahan pendakwaan dalam rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagi mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana Armada yang dihadapinya.
Saddiq merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana berkenaan.





