Sejak pemergian bapa tercinta, Allahyarham Abdul Rani Sabri pada 21 Ogos 2016, pelakon Azhan Rani mengakui bahawa suasana sambutan hari raya tidak lagi seindah dahulu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tak Kisah Pelakon Senior Atau Baru, Jangan Buat Orang Lain Menunggu Kita’ – Azhan Rani
Artikel Berkaitan: ‘Aku Pernah Tunggu Artis Yang Belum Dikenali Dari Pagi Sampai Petang Dekat Set’ – Azhan Rani
Tak pakai baju raya sejak 2016

Ketika ditemui , Azhan memaklumkan Aidilfitri buat dirinya sudah berubah sejak kehilangan bapa tercinta.
Malah dia kini lebih selesa tidak berlebih-lebihan dalam menyambut hari raya selain mengakui tidak lagi merasa teruja untuk meraikannya seperti dahulu.
Sejak arwah abah tiada, saya memang tak pergi beraya. Kalau emak keluar beraya, saya lebih selesa tinggal di rumah.
Bagi saya, kalau tidak beraya pun tidak mengapa. Kadang-kadang saya rasa boleh tak puasa sahaja, tak perlu ada raya.
Azhan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Brandfilm Raya D’Herbs yang bertajuk ‘Ya, Abang Saya Sekuriti’ bertempat di GSC IOI Mall Damansara, baru-baru ini.
Bercerita dengan lebih lanjut, Azhan mendedahkan dia telah lama meninggalkan tradisi mengenakan baju raya sejak pemergian bapanya pada 2016. Sebaliknya, dia hanya memakai baju Melayu atas urusan kerja atau ketika terlibat dalam sesi penggambaran sahaja.
Masa arwah ada, kami sekeluarga akan pakai pakaian sedondon. Tapi sejak 2016 saya tak beli baju raya. Ada kawan bagi baju Melayu pun masih ada dalam kotak, saya tak pernah buka.
Saya hanya pakai baju raya ketika penggambaran dan urusan kerja sahaja. Kalau waktu raya, saya hanya pakai kemeja atau tshirt je.
Tapi setiap kali saya teringat momen itu, saya jadi sebak. Sebab itu saya elakkan pakai baju Melayu. Baju Melayu pakai dalam TV sahaja.
Mengimbau kembali kenangan dahulu, Azhan mengakui setiap ahli keluarganya dahulu mempunyai peranan masing-masing sebelum semuanya berubah.
Dulu arwah abah yang ke pasar, emak hanya memasak. Sekarang semua itu sudah berubah.
Emak pun dah tak boleh memasak seperti dahulu, jadi kami banyak membeli. Suasana itu sudah tidak sama.
The post Azhan Rani Sambut Syawal Dengan T-Shirt Sejak Pemergian Bapa – ‘Saya Pakai Baju Melayu Untuk Kerja Je’ first appeared on OHBULAN!.





