
Menantu kepada pelakon, Abby Abadi iaitu Ahmad Aslam tampil memohon maaf secara terbuka kepada aktres tersebut.
Mohon maaf

Menerusi hantaran di platform threads, Aslam, 26, berkata, dia ada membuat permohonan secara peribadi kepada Abby, namun memahami permintaan aktres tersebut untuk melakukannya secara terbuka.
Disini saya ingin menjelaskan yang saya sudahpun pernah meminta maaf pada ibu mertua saya, baik ibu mertua isteri pertama dan juga isteri kedua saya.
Tetapi, disebabkan ibu mertua saya mungkin ingin saya memohon maaf secara terbuka di publisiti platform media.
Dengan rendah hati, disini saya ingin memohon maaf kepada semua pihak terutama ibu mertua saya Abby Abadi kerana banyak perkara yang telah saya lakukan yang sangat berat.
Menerusi hantaran sama, Aslam berkata, dia tidak menyangka pendekatan yang diambil selama ini untuk berdiam diri telah menjadikan isu keluarga mereka semakin besar.
Saya jarang bersuara, kerana saya ditempat dan kedudukan yang bersalah, saya akui saya bersalah. Tapi ada masa diam itu bukan lagi pilihan.
Saya akui saya banyak melakukan kesilapan pada semua pihak. Saya dengan rendah diri memohon maaf atas sebab diam saya perkara jadi lebih besar.
Keputusan berpoligami

Dalam pada itu, Aslam turut menjelaskan mengenai tindakannya untuk menjadikan anak kepada Abby, Marissa Dania sebagai isteri kedua dan memilih untuk hidup berpoligami.
Tegas Aslam, sebagai suami, dia bertanggungjawab penuh terhadap nafkah zahir dan batin kedua-dua isterinya.
Saya memilih untuk berpoligami dan saya berkahwin secara senyap, bukan kerana suka-suka, tetapi kerana keadaan yang memerlukan begitu. Saya tahu risiko dan beban yang datang bersamanya.
Tapi saya juga tahu lebih baik saya bertanggungjawab daripada terus bermain dengan perasaan dan masa depan orang lain.
Demi menjaga maruah dan niat baik keluarga, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kedua-dua isteri saya. Mereka tidak berkongsi tempat tinggal, tidak berkongsi nafkah.
Terdahulu, Abby berasa hairan apabila ada pihak yang memintanya memohon maaf kepada isteri pertama Aslam yang juga madu Marissa iaitu Umisya Mazlan.
Bagaimanapun Abby mempersoalkan permintaan itu sebaliknya meminta menantunya Aslam perlu datang memohon maaf kepadanya.
Untuk rekod, Marissa bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember 2023. Manakala, Aslam dan Umisya pula mendirikan rumah tangga pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Hud, 4, Nuh, 3 dan seorang bayi perempuan yang kini berusia dua bulan.





