Pempengaruh dan YouTuber terkenal, Aisar Khaled dilaporkan kepada pihak polis Indonesia atas dakwaan penipuan dan pengubahan wang bernilai sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Artikel Berkaitan: Aisar Khaled Mohon Maaf Selepas Didakwa Ganggu Penumpang Dalam Pesawat
Artikel Berkaitan: Individu Dakwa Aisar Khaled Letak Kaki Dekat Tempat Duduk Penumpang Lain? – ‘Dah Tegur Tapi Masih Buat’
Aisar Khaled dilaporkan kepada pihak polis?

Memetik laporan Tribunnews, laporan tersebut dibuat oleh sebuah agensi yang pernah menjadi rakan kerjanya di Indonesia melalui wakil peguam, Machi Achmad.
Difahamkan, tindakan itu diambil selepas pihaknya mendakwa sudah tiga kali menghantar notis tuntutan kepada Aisar, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Sementara itu, peguam Michael Sugijanto berkata, isu tersebut berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat yang diwakili pihaknya.
Dalam perjanjian tersebut, baki yang belum dibayar oleh Aisar sekitar Rp5.7 bilion (RM1.3 juta).
Ujarnya lagi, perjanjian berkenaan menetapkan Aisar perlu melaksanakan beberapa tugasan termasuk menghadiri acara tertentu sebagai sebahagian daripada penyelesaian kewajibannya. Bagaimanapun, pihak agensi mendakwa Aisar gagal melunaskan tugasan seperti yang dipersetujui.
Michael berkata, mereka sebelum ini cuba menyelesaikan perkara itu secara baik dengan menghubungi Aisar dan menghantar tiga notis tuntutan, namun usaha tersebut gagal.
Kali terakhir mereka berkomunikasi pada Julai lalu apabila pempengaruh itu hadir ke salah satu acara yang dianjurkan pihak agensi. Bagaimanapun, komunikasi antara kedua-dua pihak kembali terputus selepas acara berkenaan.
Menurutnya, kehadiran Aisar ketika itu berkait dengan satu persetujuan untuk mengurangkan sebahagian daripada jumlah kewajipan yang masih berbaki.
Michael menjelaskan, jumlah Rp5.7 bilion yang disebut dalam laporan tersebut merupakan baki kewajipan, manakala nilai keseluruhan perjanjian sebelum ini didakwa mencecah puluhan bilion rupiah.
Aisar bagaimanapun, belum memberikan sebarang kenyataan berhubung laporan berkenaan.
Sumber: Tribunnews
The post Aisar Khaled Dilaporkan Polis Indonesia, Didakwa Gagal Lunaskan Kontrak RM1.3 Juta first appeared on OHBULAN!.





