Sebanyak 700 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan yang dibimbing oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya mencatat jualan melebihi RM28 juta di TikTok Shop.
Lebih membanggakan, 74% daripada penjual yang terlibat merupakan usahawan wanita, sekali gus menunjukkan peranan penting wanita dalam memacu ekonomi digital negara.
Pencapaian ini merupakan hasil inisiatif peningkatan kemahiran dan pemerkasaan digital yang dilaksanakan secara berstruktur melalui kerjasama antara KUSKOP dan TikTok Shop.
Diumumkan sempena pelancaran TikTok Shop Bazar Raya

Kejayaan ini diumumkan sempena pelancaran TikTok Shop Bazar Raya yang berlangsung di Pusat Konvensyen IOI City Mall Putrajaya.
Acara ini diadakan bersempena bulan Ramadan dan turut selari dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa, sekaligus meraikan pencapaian usahawan wanita dalam dunia perniagaan digital.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, penyertaan tinggi usahawan wanita dalam program ini membuktikan keberkesanan usaha memperkasa ekonomi secara inklusif.
“Penyertaan sebanyak 74% usahawan wanita daripada 700 penjual yang dibimbing ini jelas mencerminkan keberkesanan penglibatan ekonomi inklusif melalui kerjasama berterusan kami bersama TikTok Shop,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa KUSKOP komited untuk terus meningkatkan kemahiran usahawan tempatan supaya mereka mampu membina jenama Malaysia yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan digital.
Kerjasama strategik bantu PMKS berkembang dalam ekonomi digital
Sementara itu, Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata kerjasama ini bertujuan membantu PMKS tempatan berkembang secara mampan dalam ekonomi digital.
Menurut beliau, penyertaan usahawan wanita yang tinggi juga menunjukkan bagaimana ekosistem e-dagang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi yang lebih inklusif.
TikTok Shop turut menyatakan komitmen untuk terus membina ekosistem digital yang dinamik bagi membantu perniagaan tempatan dari pelbagai skala berkembang dengan lebih pesat.
TikTok Shop LIVE Hub bakal diperluas ke lebih banyak negeri

Susulan kejayaan ini, KUSKOP dan TikTok Shop merancang untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan memperluaskan TikTok Shop LIVE Hub ke Pahang dan Pulau Pinang.
Hab ini menyediakan akses kepada latihan khusus serta fasiliti penstriman langsung berkualiti tinggi untuk membantu PMKS meningkatkan kemahiran jualan secara LIVE.
Setakat ini, TikTok Shop LIVE Hub yang telah dilancarkan di Sabah, Kuala Lumpur, Johor, dan Kelantan telah:
- Menganjurkan lebih 100 sesi latihan fizikal
- Memperkasakan lebih 3,000 PMKS
- Menjalankan lebih 1,800 jam penstriman langsung
- Mencapai lebih 40 juta tontonan
TikTok Shop Bazar Raya 2026 himpunkan lebih 80 penjual

Bagi yang ingin menyokong usahawan tempatan, orang ramai boleh berkunjung ke TikTok Shop Bazar Raya 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 8 Mac 2026, bermula 10 pagi hingga 10 malam di Pusat Konvensyen IOI City Mall Putrajaya.
Acara ini menampilkan lebih 80 reruai penjual dengan pelbagai tawaran menarik. Pengunjung juga berpeluang bertemu selebriti popular seperti:
- Amyra Rosli
- Puteri Aisyah
- Zazleen
- Shahz Jazle
- Azira Shafinaz
- Emma Maembong
- Jazmy Juma
- Nazief Nazri
Untuk maklumat lanjut mengenai Jualan Bazar Raya TikTok Shop, klik di sini.
The post 700 PMKS Tempatan Raih Jualan RM28 Juta Di TikTok Shop Bersama KUSKOP first appeared on OHBULAN!.





