30.7 C
Kuala Lumpur
Friday, July 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Beri jaminan atau kami tarik modal’: Pengasas komuniti di Forest City mahu jumpa PM lepas disiasat

    Shopee Sale

    Pengasas sebuah komuniti teknologi di Forest City, Johor, yang baru-baru ini menjadi perhatian pihak berkuasa berkata pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu diadakan bagi membincangkan “langkah seterusnya”.

    Kerajaan Johor sebelum ini meminta pihak berkuasa menyiasat komuniti kediaman persendirian dan ruang kerja bersama yang dikenali sebagai “Network School” susulan dakwaan warga Israel yang memiliki dua kerakyatan menetap di situ.

    Melalui hantaran panjang di X malam tadi, pelabur teknologi Amerika Syarikat Balaji Srinivasan mempersoalkan sama ada komuniti teknologi global patut terus melabur di Malaysia susulan tindakan pihak berkuasa terhadap komuniti berkenaan.

    “Jika Malaysia masih mahukan pelaburan teknologi global berterusan, jika mahu menjadi antara 20 hab teknologi terbaik dan jika mahu kami menghidupkan semula Forest City, maka kami memohon pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri,” kata Balaji (gambar bawah).

    Menurutnya, pertemuan itu boleh membuka ruang perbincangan mengenai syarat memorandum persefahaman antara Network School dan Putrajaya, yang dicadangkannya mungkin “serupa” dengan dokumen ditandatangani antara kerajaan Kazakhstan dan entiti bukan berasaskan keuntungan, Solana Foundation.

    “Perinciannya sudah tentu boleh dibincangkan, tetapi kami akan memberikan komitmen secara terbuka untuk mematuhi semua undang-undang Malaysia — seperti yang sudah kami lakukan — dan menghormati kedaulatan Malaysia, yang tidak pernah dipersoalkan.

    “Sebagai pilihan lain, jika anda tidak mahukan pelaburan kami atau pelaburan rakan kami dalam dana bernilai berbilion dolar dan syarikat bernilai trilion dolar, kami sudah tentu akan menghormati kehendak anda dan mengalihkan modal kami ke negara lain,” jelas Balaji.

    ‘Cerita palsu pengacau internet tanpa nama’

    Dia turut menjelaskan semua pelaburan lanjut Network School di Malaysia ditangguhkan sementara menunggu “jaminan mencukupi” bahawa isu tertentu tidak akan berulang, sambil mendakwa rancangan pelaburan oleh pelabur lain di Forest City turut dihentikan atas sebab sama.

    Menegaskan Forest City menjadi sasaran tidak adil akibat “cerita palsu yang disebarkan akaun tanpa nama”, Balaji berkata “kisah kejayaan bernilai berbilion dolar yang sedang berkembang” dalam komuniti itu sepatutnya diraikan sebagai kejayaan besar dasar pro-teknologi kerajaan.

    “Secara terus terang, kami sudah melabur lebih RM100 juta di Malaysia, di samping mewujudkan pekerjaan untuk ramai rakyat Malaysia, dan wajah serta nama kami diketahui umum.

    MENARIK:  JDT tundukkan Kuching City 2-0

    “Eksekutif dan pekerja kami dari Malaysia wajar diberikan kepercayaan berbanding pengacau internet tanpa nama,” tambahnya.

    Balaji turut menyebut pengesahan Jabatan Imigresen bahawa kesemua 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa dalam operasi baru-baru ini di Network School memiliki dokumen imigresen sah, sambil berkata komuniti itu memberikan sumbangan besar kepada industri tempatan.

    “Kami menyokong syarikat pemula teknologi Malaysia seperti Collektr, menganjurkan acara untuk pasukan tempatan seperti Superteam Malaysia dan menjadi pelanggan utama banyak perniagaan tempatan seperti kedai gunting rambut, dobi dan restoran.

    “Kami juga menghidupkan semula projek Forest City bernilai berbilion dolar sehingga menyebabkan nilai hartanah meningkat jutaan ringgit,” tambahnya.

    Dakwaan warga Israel di Malaysia

    Isu itu mendapat perhatian umum selepas Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi pada 14 Julai mengulas dakwaan di media sosial bahawa warga Israel yang menggunakan pasport kerakyatan kedua merupakan antara individu yang menetap di Network School.

    Walaupun Balaji seolah-olah mengaitkan dakwaan itu dengan pilihan raya negeri pada 11 Julai, pelbagai pihak berhujah bahawa bantahan terhadap komuniti berkenaan boleh dikesan sejak Oktober 2025, apabila pencipta kandungan Israel Nuseir Yassin, yang lebih dikenali sebagai Nas Daily, muncul dalam video promosi Network School.

    Walaupun video itu sudah dipadamkan dari X, ketegangan kembali memuncak pada April lalu selepas Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Timbalannya Wilson Ugak Kumbong mengunjungi Network School ketika masih timbul persepsi bahawa penjelasan mengenai isu berkaitan projek itu tidak mencukupi.

    Balaji dilaporkan menggambarkan Network School, yang memasarkan dirinya sebagai “Silicon Valley di luar Silicon Valley” dan terletak “berhampiran Singapura”, sebagai asas kepada visinya mengenai sebuah “negara rangkaian”.

    Istilah itu merujuk kepada gambaran masa depan apabila usahawan teknologi boleh mengumpul dana ramai bagi membentuk sebuah “negara baru” daripada pelbagai komuniti teknologi di seluruh dunia, dengan matlamat akhirnya mendapatkan “pengiktirafan diplomatik daripada negara sedia ada”.

    Pemaju Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd berkata pihaknya akan “menguatkuasakan sepenuhnya hak undang-undang dan kontraknya” jika siasatan pihak berkuasa menemukan sebarang pelanggaran membabitkan operasi Network School.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah