Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang sudah mereput ditemui di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, pada Rabu.
Kanak-kanak dipercayai dibunuh

Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang dikenali sebagai Nurjilya Abdullah, 10, yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa pada Rabu.
Identiti mangsa disahkan oleh ibunya berdasarkan pakaian yang dipakai ketika kali terakhir dilihat sebelum dilaporkan hilang. Polis percaya kanak-kanak itu menjadi mangsa pembunuhan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 10.38 malam sebelum sepasukan anggota bersama Unit Forensik bergegas ke lokasi.
Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa sudah mereput.
Pengecaman identiti dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang.
Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul,
Hasil siasatan lanjut, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan,
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis La Paula Abd Muis di talian 013-5149490.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Harian Metro
The post Hilang Sejak 13 Julai, Mayat Kanak-Kanak 10 Tahun Ditemui Mereput Di Kawasan Semak first appeared on OHBULAN!.





