imbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja empat hari ke Republik Rakyat China bermula hari ini hingga 7 Nov.
Beliau akan diiringi pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan, serta wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
Lawatan ini merupakan kunjungan pertama beliau ke China pada tahun 2025 dan menzahirkan komitmen berterusan Malaysia, untuk memperkukuh hubungan serta memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor demi manfaat bersama kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala ditingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sepanjang lawatan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025, serta bertemu pihak berkepentingan utama sektor halal di China bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global industri halal dan membuka peluang ke pasaran baharu di seluruh dunia.
Pada tahun 2024, China berada di tangga kedua sebagai destinasi eksport halal Malaysia, dengan nilai eksport keseluruhan berjumlah RM7.04 bilion.
Delegasi itu juga dijadualkan untuk mengadakan perbincangan peringkat tinggi bagi memperkukuh kerjasama dua hala, dengan penekanan khusus terhadap sektor utama seperti industri halal serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri juga dijangka menghadiri majlis perasmian Ekspo Import Antarabangsa China ke-8 (CIIE) dan merasmikan Pavilion Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).
Beliau juga akan menyaksikan majlis menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan China dalam bidang industri halal, perdagangan dan pelaburan.
Malaysia dan China telah menjalin hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974, dan selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara direkodkan sebanyak RM484.12 bilion pada tahun 2024, iaitu 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia bernilai RM2.879 trilion.





