29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Umno Sabah berhak pilih parti gabungan agar kembali dominan

    Shopee Sale

    Umno Sabah hari ini menegaskan mereka berhak memilih mana-mana parti untuk bergabung dalam percaturan mereka menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi agar mampu menjadikan mereka dominan.

    Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, bagaimanapun menjelaskan bahawa setakat ini mereka belum membuat sebarang keputusan berkenaan hal itu kerana ada hal lain yang perlu didahulukan.

    Katanya, keutamaan Umno Sabah ketika ini ialah mengukuhkan parti di negeri berkenaan.

    "Sebagai sebuah parti yang telah lama berakar umbi di Sabah, kita (Umno) mempunyai hak untuk memilih dengan siapa kita ingin bergabung.

    "Tetapi, sebelum memutuskan sebarang kerjasama politik, keutamaan kita ialah memperkukuh jentera parti di semua peringkat.

    "Kita harus memastikan Umno Sabah berada dalam keadaan yang kuat, kerana jika kita dominan, mana-mana pihak yang bergabung dengan kita juga akan melihat Umno sebagai pemimpin utama dalam landskap politik negeri ini," katanya.

    Dewan Undangan Negeri Sabah dijangka dibubarkan pada tahun ini berdasarkan kepada kali terakhir negeri itu mengadakan PRN ialah pada 26 Sept 2020. Perlembagaan menetapkan PRN perlu diadakan selewat-lewatnya lima tahun sekali.

    Sama seperti di peringkat nasional, prestasi Umno-BN di Sabah tidak begitu meyakinkan apabila hanya memenangi 14 daripada 41 kerusi yang ditandingi hampir lima tahun lalu.

    Tidak terburu-buru bertindak

    Tiga puluh dua daripada kerusi yang ditandingi diwakili Umno manakala Parti Bersatu Rakyat Sabah lima kerusi manakala baki empat lagi ditandingi MCA.

    MENARIK:  Isu kuil: Elak kontroversi kaum, agama berulang - timb menteri

    Pada 21 Feb 2023 lima daripada Adun terbabit mengumumkan mereka meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) pimpinan ketua menteri, Hajiji Noor.

    Mereka ialah Adun Sindumin, Yusof Yacob, Jasnih Daya (Pantai Dalit), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Hamid Awang (Balung) dan James Ratib (Sugut).

    Perpindahan lima Adun terbabit dilatari oleh cubaan Umno Sabah untuk menjatuhkan Hajiji daripada jawatan ketua menteri. Cubaan tersebut - yang berlangsung kira-kira sebulan sebelum itu - bagaimanapun gagal.

    Politik Sabah ketika ini pula dibayangi dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa Adun kerajaan yang terkait dengan permohonan lesen mencari gali mineral di negeri tersebut.

    Hajiji Noor

    Hajiji menafikan wujud amalan rasuah dan mendakwa tuduhan itu adalah cubaan pihak luar untuk melemahkan kerajaan negeri, selain dipengaruhi oleh kepentingan pihak tertentu.

    Kata Bung Moktar baru-baru ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka bahawa sangat penting parti itu kembali menjadi dominan dalam PRN akan datang.

    Ahmad Zahid juga, kata Bung Moktar, mengingatkan Umno Sabah agar tidak mudah percaya kepada janji-janji manis pihak tertentu yang mahu bekerjasama namun akhirnya hanya merugikan mereka.

    "Berdasarkan pengalaman lalu, Umno Sabah merangka strategi tersendiri dan memiliki pasukan yang mantap dalam menghadapi sebarang situasi politik.

    "Kami tidak perlu terburu-buru dalam mencari rakan gabungan kerana Umno bukan parti yang lemah," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah