Berada dalam industri seni bukan hanya tentang populariti dan perhatian, tetapi turut hadir bersama tekanan, kritikan serta persoalan terhadap kemampuan diri sendiri.
Lebih-lebih lagi apabila setiap karya dan penampilan sering menjadi perhatian ramai, ada ketika seseorang anak seni sendiri mula tertanya-tanya sama ada mereka benar-benar cukup baik untuk terus berada dalam bidang yang dipilih.
Artikel Berkaitan: Baru 20 Tahun Tapi Cara Bercakap Dipuji, Zaki Yamani Pilih Jaga Adab
Artikel Berkaitan: Zaki Yamani Hairan Jamal Abdillah Tahu Gosip Dengan Azeva, Pesan Fokus Kerjaya – ‘Rupanya Ayah Dah Pandai Main TikTok’
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA hari ini, penyanyi dan pelakon, Zaki Yamani mengakui dia bukanlah individu yang sentiasa yakin dengan perjalanan seninya.
Malah, anak kepada legenda muzik tanah air, Datuk Jamal Abdillah itu mendedahkan dirinya pernah berdepan rasa ragu terhadap penampilan, karya yang dihasilkan sehingga hala tuju kerjayanya sendiri.
Pernah meragui diri sendiri, banyak kali. Saya ragu nak tengok muka sendiri di skrin, ragu nak keluarkan lagu untuk OST, ragu dengan karier saya.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, Zaki bersyukur kerana tidak perlu melalui detik tersebut bersendirian apabila mempunyai sistem sokongan yang kuat dalam kalangan individu terdekat.
Menurutnya, ibu, keluarga serta sahabat rapat antara insan yang banyak membantu dirinya untuk kembali melihat sesuatu perkara daripada sudut yang lebih positif.
Tapi Alhamdulillah, saya ada sistem sokongan yang sangat baik iaitu ibu saya, keluarga dan kawan-kawan rapat saya.
Ambil Masa Untuk ‘Down’, Tapi Tak Biarkan Diri Terlalu Lama
Tidak menafikan ada waktunya emosi terjejas selepas menerima kecaman atau tekanan, Zaki memilih untuk memberi sedikit ruang kepada dirinya sendiri.
Katanya, ada ketika dia akan menyepi selama sehari atau dua hari dan kurang berkongsi perkembangan di media sosial sebelum kembali menjalani rutin seperti biasa.
Ada masa saya akan ‘down’ sehari dua, tak akan update sangat.
Namun, kehadiran orang sekeliling menjadi antara faktor utama yang membantunya kembali stabil dan lebih bersedia menerima komen serta kecaman yang datang bersama kehidupan sebagai seorang figura awam.
Tapi disebabkan mereka saya kembali ke mental yang stabil, boleh terima dengan segala kecaman dan sebagainya.
Perkongsian Zaki memperlihatkan satu sisi yang mungkin jarang dilihat di sebalik kehidupan seorang anak seni.
Keyakinan diri bukan sesuatu yang sentiasa berada pada tahap yang sama. Ada waktunya seseorang boleh meragui diri sendiri, namun sokongan daripada orang yang dipercayai mampu menjadi ruang untuk mereka kembali membina kekuatan.
Bagi Zaki, kecaman mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi mempunyai lingkungan yang memahami keadaan dirinya sedikit sebanyak membantu dia terus bergerak dalam industri seni.
The post POV XTRA: Bukan Mudah Jadi Anak Legenda, Zaki Yamani Pernah Ragu Pada Diri & Karier – ‘Ada Masa Saya Down Sehari Dua…’ first appeared on OHBULAN!.





