Umno Negeri Sembilan menegaskan akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan, namun pada masa sama mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap menteri besarnya.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Mustapha Nagoor berkata, ketetapan untuk mengekalkan kerjasama itu dibuat demi menjamin kesejahteraan dan keutamaan kepada rakyat di negeri berkenaan.
"Umno Negeri Sembilan menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk kita mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan seperti mana yang diputuskan di dalam Biro Politik Umno Malaysia dan Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan,

“(Namun) kami kekal hilang kepercayaan kepada menteri besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan UndangUndang Tubuh Negeri Sembilan. ," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mustapha turut memaklumkan bahawa semua Adun Umno daripada BN akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa dengan memberi tumpuan kepada khidmat bakti dan kebajikan rakyat.
Walau bagaimanapun, dia menyatakan pendirian tegas parti di peringkat negeri yang kini sudah tidak lagi menaruh kepercayaan kepada kepimpinan Aminuddin Harun selaku menteri besar.
Sehubungan itu, Mustapha berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di negeri itu dapat diselesaikan secara harmoni mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tatacara adat yang sebenar.

Dia turut menyeru rakyat agar menghormati proses yang sedang berlaku dan tidak mengeluarkan sebarang komen provokatif yang boleh menghina institusi adat.
Petang semalam, pimpinan PH dan Umno mencapai persetujuan untuk mengekalkan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, susulan perkembangan politik di negeri itu.
Menurut kenyataan bersama, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara kedua-dua gabungan yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Mei.
"Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
"Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.





