Kemenangan besar Umno dan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai diperlihatkan sebagai kebangkitan semula BN selepas melalui zaman suram bermula pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Kemenangan di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi yang dipertandingkan antara pencapaian terbaik BN selepas era kejatuhan mereka.
Namun, ramai pemerhati dan pengkaji masih menilai sama ada gelombang biru yang bermula di Johor akan berterusan hingga ke PRN Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya ke PRU-16
Johor memang dikenali sebagai negeri Umno tertubuh dan secara tradisinya Umno mempunyai tapak sokongan yang kukuh. Jentera-jentera Umno baik dari peringkat cawangan, bahagian, pemuda, wanita hinggalah ke Puteri berpengalaman menjalankan gerak kerja baik sebelum kempen PRN.
Semangat Bangsa Johor yang ditiup oleh kepimpinan Umno memperlihatkan seolah-olah Umno adalah Johor dan Johor adalah Umno. Melalui strategi membawa imej Bangsa Johor, makanya mudah bagi jentera Umno dan BN mendekati pengundi.
Isu 1MDB tak laku
Imej Umno dan BN di mata pengundi lebih baik berbanding imej mereka di negeri lain. Isu seperti salah guna kuasa dan 1MDB yang dibawa oleh pesaing politik mereka dilihat tidak memberi kesan kepada rakyat Johor.
Isu berkenaan Najib Razak dan 1MDB mungkin sudah tidak relevan dalam kalangan pengundi Johor. Rakyat menilai kepada apa yang kerajaan negeri berikan tanpa mempedulikan isu lama yang mungkin bagi mereka sudah lapuk.
Ketokohan kepimpinan Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar Johor turut menyumbang kepada kemenangan besar Umno dan BN. Tidak banyak, malahan hampir tidak kedengaran rungutan atau ketidakpuasan hati rakyat Johor terhadap kepimpinan beliau.

Ditambah pula Umno dan BN di Johor membentuk kerajaan secara solo tanpa kerjasama dengan mana-mana parti lain semenjak PRN Johor ke-15 membuatkan urusan pentadbiran berjalan lancar tanpa perlu mempertimbangkan pihak lain dalam komponen kerajaan negeri.
Rata-rata rakyat Johor dilihat berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar Johor hingga populariti beliau mengatasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim sewaktu kempen berjalan.
Bijak urus naratif
Kebijaksanaan Onn Hafiz memainkan sentimen Bangsa Johor tanpa menyentuh isu kaum dan agama amat berkesan. Ini diterjemahkan melalui sokongan bukan Melayu terhadap parti komponen BN seperti MCA yang menambah kerusi daripada empat dalam PRN ke-15 kepada lapan kerusi.
Sokongan bukan Melayu khususnya kaum Cina yang kembali kepada MCA adalah sesuatu yang patut menggusarkan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.
Onn Hafiz bijak mengendalikan taktikal naratif sewaktu kempen berjalan, ini membuatkan kenyataan dan tindakan beliau tidak mudah dimanipulasi oleh media khususnya di media sosial.

Onn Hafiz sebaik melangkah masuk ke PRN Johor membuat kenyataan tegas dan berani bahawa Umno dan BN tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk membentuk kerajaan.
Sewaktu kempen, Onn Hafiz sekali lagi menutup ruang spekulasi dengan mengatakan tidak akan duduk semeja dengan DAP untuk membentuk kerajaan negeri. Kenyataan begini cukup kuat meyakinkan pengundi Melayu untuk mengundi Umno dan BN.
Menghampiri hari mengundi, Hadi Awang mengeluarkan kenyataan akan bekerjasama dengan Umno dan BN bagi membentuk kerajaan di Johor. Situasi ini jika gagal dikawal dengan baik oleh Umno dan BN pasti akan menjejaskan undi bukan Melayu.
Tetapi sekali lagi, Onn Hafiz bijak mengendalikannya dengan berkata tidak akan bekerjasama dengan PAS. Ia membuatkan PAS yang cuba mendekati Umno tersentak dan Onn Hafiz menahan undi bukan Melayu daripada meninggalkan BN.
Ketandusan modal kempen
PH yang dipimpin oleh Amirudin Shari sebagai pengarah jentera pilihan raya gagal memberikan impak besar terhadap pengundi. PH sebagai parti utama dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai beban tersendiri dalam menjalankan kempen.
Beban sebagai kerajaan yang memerintah semestinya besar kerana rakyat akan mempersoalkan apa yang mereka lakukan di peringkat persekutuan dan hasil yang telah dan sedang dinikmati oleh rakyat Johor.
Jentera komunikasi dan propaganda PH terlalu lemah dalam mendepani isu-isu sebegini. Kaedah mereka berkempen masih lagi seakan-akan mereka tidak mempunyai kuasa dalam kerajaan. Mereka mungkin masih belum berganjak dari jiwa pembangkang.
Membawa isu seperti Najib, Rosmah Mansor dan 1MDB dalam kempen politik tidak memberi kesan positif kepada PH. Pengundi bukan Melayu sudah tidak berminat dengan isu Najib, Rosmah dan 1MDB.
PH ada kelebihan sebagai parti pemerintah utama di peringkat persekutuan tetapi mereka sama ada tidak tahu memanfaatkan, gagal memanfaatkan atau sengaja tidak mahu memanfaatkannya kerana mahu menghormati dan memberi laluan kepada BN sebagai rakan kongsi dalam kerajaan.
Natijahnya, daripada 56 kerusi DUN yang PH bertanding, mereka hanya berjaya memenangi lapan berbanding 11 dalam PRN Johor ke-15.
Perpecahan dalaman PN
Satu lagi keadaan yang menjadi jackpot kepada Umno dan BN ialah perpecahan dalam kalangan komponen PN melibatkan PAS dan Bersatu. PN yang sebelum ini rakus menyerang kubu-kubu parti lawan kini menjadi begitu lemah dan longlai.
Kehadiran PN kali ini seakan tidak diendahkan oleh pengundi. Kesemua 16 orang calon Bersatu yang memakai logo PN hilang wang pertaruhan. Walaupun Johor merupakan negeri Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, situasi tidak sedikit pun memberi kelebihan kepada parti itu.
PAS yang bertanding 15 kerusi juga gagal memenangi sebarang kerusi dan turut terlepas DUN Maharani.

PAS melalui presidennya beberapa kali mengeluarkan kenyataan kontroversi yang membunuh Bersatu. Antaranya, Hadi memutuskan tidak menggerakkan jentera PAS untuk membantu Bersatu walaupun kedua-dua parti ini bertanding menggunakan logo yang sama.
Hadi juga mengarahkan ahlinya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN. Kenyataan seperti ini jelas tidak disenangi oleh rakannya, Bersatu. Berkemungkinan penyokong Bersatu yang tidak berpuas hati dengan sikap Hadi ini tidak memberi undi kepada calon PAS di kawasan mereka.
Bersatu dibelasah teruk oleh PAS sebelum dan sewaktu berkempen. Ini memudahkan kerja BN yang hanya perlu fokus terhadap PH tanpa mengeluarkan modal besar melawan PN.
Akhirnya, kita boleh menunggu dan lihat adakah gelombang biru BN ini akan berterusan. Sekiranya BN mampu membawa gelombangnya sendiri, PH tidak diperlukan lagi dalam PRU16.
MOHD ZAMIRUL MOHD DZAKI, pensyarah Pengajian Umum, Pusat Pengajian Bahasa dan Komunikasi, UOW Malaysia KDU Penang University College. Dia boleh dihubungi di [email protected].
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





