Ada satu peribahasa Melayu yang cukup sesuai menggambarkan keadaan politik negara hari ini, "Tidur sebantal, tapi mimpi lain-lain."
Dari luar nampak mesra. Dari jauh nampak bersatu. Tetapi apabila lampu dipadam dan tirai dibuka, rupa-rupanya setiap pelakon sedang berjalan menuju destinasi yang berbeza.
Itulah gambaran paling tepat terhadap hubungan antara Umno, DAP dan PKR dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.
Selama hampir empat tahun, rakyat disajikan naratif bahawa kestabilan negara lebih penting daripada perbezaan ideologi. Naratif itu berjaya. Sekurang-kurangnya di atas pentas.
Tetapi politik, seperti yang pernah ditulis oleh ahli falsafah Itali, Niccolò Machiavelli dalam buku tersohornya, ‘The Prince’, "Everyone sees what you appear to be, few experience what you really are." Semua orang melihat apa yang dipamerkan. Tetapi hanya sedikit yang mengetahui realiti sebenar.
Dan realiti itu mula terdedah di Johor.
Johor hanya permulaan, bukan penamat cerita
Apabila Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan lebih awal walaupun kerajaan memiliki majoriti yang kukuh, ramai pemerhati politik mula bertanya, “Mengapa sekarang?” Persoalan menjadi bertele-tele:
-
Bukankah penggal masih berbaki hampir setahun?
-
Bukankah kerajaan negeri stabil?
-
Bukankah rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup?
Persoalan tersebut bukan hanya dibangkitkan oleh pembangkang. Lebih menarik, ia turut dipersoalkan oleh pemimpin dalam Pakatan Harapan sendiri. Di sinilah drama sebenar bermula.
Kerana buat pertama kali sejak PRU-15, pertelagahan tidak lagi berlaku antara kerajaan dan pembangkang. Sebaliknya berlaku sesama anggota kerajaan.
Bak kata bidalan lama, "Retak menanti belah." Apa yang selama ini disembunyikan di sebalik slogan perpaduan mula muncul satu demi satu. Benarlah, “Bangkai tidak mungkin boleh ditutup dengan daun sehelai.”
Politik bukan matematik, tetapi kepercayaan
Pada PRU-15 tahun 2022, tiada parti memperoleh majoriti mudah. Lalu lahirlah Kerajaan Perpaduan. Ia merupakan formula politik yang unik dalam sejarah Malaysia moden.
Namun ahli sains politik terkenal Amerika, Samuel Huntington, pernah mengingatkan, “Political stability depends not only on institutions, but on legitimacy." Kestabilan politik tidak hanya bergantung kepada institusi. Ia bergantung kepada legitimasi.
Persoalannya:
● Adakah Umno, DAP dan PKR benar-benar berkongsi legitimasi politik yang sama?
● Atau mereka sekadar berkongsi kuasa kerana keadaan memaksa?
Johor mungkin sedang memberikan jawapannya.
Onn Hafiz, DAP dan realiti politik akar umbi
Kenyataan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi bahawa beliau tidak sanggup menjadi Menteri Besar jika perlu membentuk kerajaan bersama DAP bukan sekadar kenyataan biasa.

Ia adalah mesej politik. Mesej kepada akar umbi Umno. Sekali gus mesej kepada pengundi Melayu. Dan mesej kepada PRN Johor yang terkini.
DAP pula segera membalas. Anthony Loke mengingatkan bahawa Umno dan DAP duduk semeja dalam Kabinet setiap minggu.
Fakta itu benar. Tetapi politik bukan sekadar fakta. Politik juga mengenai persepsi. Ahli falsafah Perancis, Jean Baudrillard, pernah menyebut, "The simulation becomes more important than reality." Kadang kala persepsi lebih berkuasa daripada realiti.
Dan dalam politik Malaysia, persepsi sering menentukan keputusan pengundi.
Pelakon yang terpaksa berkongsi pentas
Dalam dunia teater, pelakon yang hebat boleh melakonkan watak yang tidak disukainya. Tetapi semakin lama lakonan berlangsung, semakin sukar menyembunyikan emosi sebenar.
Begitu juga politik. Selama hampir empat tahun, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan berjaya memainkan perananan masing-masing.
Namun menjelang PRN Johor dan akhirnya PRU-16, tekanan semakin meningkat:
● Masing-masing perlu kembali kepada penyokong tradisional.
● Masing-masing perlu membuktikan identiti sendiri.
● Masing-masing perlu menunjukkan bahawa mereka belum hilang prinsip.
Di sinilah cabaran sebenar bermula. Kerana seperti yang ditulis oleh Francis Fukuyama dalam Political Order and Political Decay, "Trust is the currency of politics." Kepercayaan ialah mata wang politik.
Apabila kepercayaan mula susut, kerjasama menjadi semakin mahal.
Johor sebagai makmal politik Malaysia
Sejarah menunjukkan Johor sering menjadi negeri yang menentukan arah politik negara.

Pada PRU 2022, Barisan Nasional memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN Johor. Kemenangan besar itu menjadikan Johor kubu penting Umno.
Namun landskap politik hari ini tidak sama seperti tahun 2022. Telah berlaku kebobrokan dalam urustadbir Kerajaan Perpaduan:
● Kos sara hidup meningkat.
● Harga rumah terus menjadi isu.
● Golongan muda semakin tertekan.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kos kehidupan isi rumah terus meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya di kawasan bandar utama. Dalam masa yang sama, ramai anak muda Johor memilih bekerja di Singapura kerana jurang pendapatan yang jauh lebih tinggi.
Rakyat kini tidak hanya bertanya siapa yang memerintah. Mereka mula bertanya, “siapa yang benar-benar menyelesaikan masalah?”
Di sinilah PRN Johor menjadi lebih besar daripada sekadar pilihan raya negeri. Ia bakal menjadi referendum awal terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.
Kestabilan atau sekadar menangguh pertembungan?
Dalam bukunya ‘The Clash of Civilizations’, Samuel Huntington menulis bahawa konflik sering muncul bukan kerana perbezaan itu baru, tetapi kerana perbezaan lama yang tidak pernah diselesaikan.

Mungkin itulah yang sedang berlaku. Perbezaan ideologi antara Umno, DAP dan PKR tidak pernah luntur, terhakis atau hilang:
● Ia hanya disimpan.
● Ia hanya ditangguhkan.
● Ia hanya ditutup dengan slogan kestabilan.
Kini, menjelang PRN Johor, perbezaan tersebut mula muncul semula ke permukaan.
Bak kata peribahasa, "Api dalam sekam." Keadaan kelihatan tenang. Tetapi bara masih berbahang.
Johor sedang menjadi cermin Malaysia
Akhirnya, persoalan terbesar bukan sama ada Umno, DAP atau PKR boleh terus duduk semeja. Persoalan sebenar ialah sama ada mereka masih berkongsi visi yang sama untuk masa depan negara.
Kerana pelbagai kelompok rakyat sudah memasuki fasa dewasa di bawah panji kuasa. Maka, tidak dapat dinafikan memang wujud dan terserlah keadaan:
● Rakyat semakin matang.
● Rakyat semakin kritikal.
● Rakyat semakin mampu membezakan antara kestabilan sebenar dan kestabilan yang dipentaskan.
Seperti yang pernah diingatkan oleh Confucius lebih 2,500 tahun lalu, "The strength of a nation derives from the integrity of its leaders." Kekuatan sesebuah negara lahir daripada kejujuran pemimpinnya.
Johor hari ini bukan sekadar medan pilihan raya. Johor sedang menjadi cermin kepada politik Malaysia.
Dan apabila tirai PRN dibuka nanti, rakyat mungkin akan melihat sesuatu yang selama ini tersembunyi di sebalik slogan perpaduan:
● Sesetengah hubungan politik boleh berkongsi pentas yang sama.
● Boleh berkongsi jentera kuasa yang sama.
● Boleh berkongsi platform kerajaan yang sama.
Tetapi belum tentu tinggal serumah pasangan merasa bahagia.
Kerana dalam politik, tidur sebantal tidak semestinya mengalami mimpi yang sama. Kadangkala, ia hanya menunggu waktu untuk masing-masing bangun dan berjalan ke arah yang berbeza.
RAMLEE WAHAB bekas pemimpin akar umbi Bersatu Johor yang kini memilih Parti Wawasan Negara pimpinan Hamzah Zainudin. Dia juga seorang penggiat seni serta pemenang pelbagai anugerah sastera.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





