ULASAN SUKAN | Mungkin saingan separuh akhir Piala Dunia kali ini boleh dianggap sebagai yang terbaik pernah dipersembahkan oleh kejohanan tersebut setakat beberapa dekad ini.
Realitinya, ia berpandu kepada ranking Fifa. Semua empat pasukan yang layak – Perancis, Sepanyol, England dan Argentina – berada dalam kelompok empat teratas dunia ketika ini.
Rasanya, belum pernah ada situasi sumpama ini berlaku sejak kejohanan bola sepak terbesar dunia dimulakan pada 1930.
Justeru untuk tontonan global, aksi separuh akhir yang bermula awal pagi esok amat dinantikan kerana ia membabitkan empat barisan penuh berkualiti bersama deretan pemain berstatus bintang.
Kelibat Lionel Messi, Kylian Mbappe, Lamine Yamal dan Jude Bellingham adalah antara tarikan terbesar. Namun, cuma dua daripada mereka akan hadir untuk merebut mahkota kejuaraan bagi edisi ke-23 kali ini.
Siapakah yang bakal melepasi halangan besar ini nanti?
Juara 2018, Perancis akan berdepan juara Euro 2024, Sepanyol awal pagi esok (15 Julai) manakala juara bertahan, Argentina, bertembung dengan England sehari kemudian.
Dua pemenang akan melangkah mara ke final yang bakal diadakan di Stadium MetLife, New York pada Ahad ini.
Pertembungan kelompok empat terakhir kali ini juga membabitkan tiga wakil Eropah dan satu Amerika Selatan.
Ancaman menggerunkan dari Perancis
Komposisi seperti ini sudah pun kerap berlaku. Daripada 10 edisi Piala Dunia lalu, sejak 1990, sekurang-kurangnya tiga wakil Eropah layak.
Menariknya sudah dua kali tiada wakil dari Amerika Selatan iaitu pada edisi 2018 (di Russia) dan 2006 (Jerman). Hal itu kerana dua pertaruhan terbaik benua berkenaan – Brazil dan Argentina – tersingkir dalam saingan kalah mati dan suku akhir.
Tiada keraguan lagi pasukan Eropah secara tekal menunjukkan kualiti yang tinggi dan ia memberi gambaran bahawa Perancis, Sepanyol dan England memiliki ramuan untuk tampil menafikan impian besar Argentina untuk mempertahankan gelaran buat kali kedua berturut-turut.

Dua pasukan yang pernah mencipta sejarah menjulang trofi emas itu dua kali berturut-turut ialah Itali pada 1934 dan 1938, serta dan Brazil (1958 dan 1962).
Kembali kita kepada isu seputar separuh akhir kali ini.
Kita mulakan dengan aksi Perancis menentang Sepanyol beberapa jam dari sekarang. Ia adalah satu pertembungan yang pada pandangan pemerhati layak dianggap final sebelum final.
Perlawanan itu seeloknya berlangsung sebagai penutup kejohanan, namun undian mentakdirkan Perancis dan Sepanyol beradu kekuatan satu takah lebih awal. Jodoh mereka sudah ditentukan begitu.
Siapa yang akan melonjak gembira dan siapa pula bakal berputih mata?
Dari segi kekuatan menyeluruh saya melihat Perancis akan mengganas lagi. Gempuran secara silih berganti dari arah Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise amat menggerunkan.
Hampir semua kesebelasan skuad Les Bleus itu bergerak secara seiringan ketika melancarkan serangan secaara padu. Mereka juga pantas dalam serangan balas. Kekuatan fizikal masing-masing juga hampir seimbang.
Keberanian Sepanyol dan cara mereka bermain dengan bola tanpa banyak “pressing game” juga boleh membuka peluang kepada Perancis menjana serangan berbisa.

Mbappe selaku kapten mungkin sesekali ‘hilang dalam permainan’ tapi dia boleh secara tiba-tiba berada dalam posisi terbaik untuk membuat rembatan padu dari luar kotak penalti.
Dia sudah melakukanya beberapa kali dan ‘tabiat’ itu dijangka berterusan.
Apa pun, secara peribadi, penulis lebih gemar dengan corak persembahan Sepanyol. Struktur permainan mereka sama pada setiap masa dengan penguasaan bola dan hantaran jarak dekat secara pantas.
Jika skuad La Roja itu berjaya membuka tirai jaringan lebih awal, lawan dijangka berdepan ranjau yang banyak untuk mengubah kedudukan menjadi lebih baik.
Satu lagi kelebihan barisan didik Luis de la Fuentes adalah benteng yang kebal. Skuad itu hanya dibolosi sekali saja sepanjang kejohanan, itu pun ketika menewaskan Belgium 2-1 dalam aksi suku akhir lalu.
Bercakap tentang rasa kecewa kepada Sepanyol sudah pasti tidak lengkap tanpa menyebut nama dan prestasi Yamal. Kita belum melihat aksi terbaik daripada penyerang berusia 19 tahun ini.
Semoga dia memilih detik terbaik ini untuk menonjolkan diri selaku antara bintang paling berharga pada edisi kali ini.
Ingatan pada Maradona
Tidak dinafikan Perancis dan Sepanyol adalah dua pasukan terbaik dalam kejohanan ini. Saya percaya sesiapa yang memenangi perlawanan pagi nanti mampu untuk muncul juara Piala Dunia pada 19 Julai ini.
Sementara itu skuad England pula mungkin tidak akan mendapat peluang lebih baik untuk menghadirkan impian “It’s coming home” selain awal pagi lusa namun duri yang menanti di laluan The Three Lions itu menggerunkan.
Barisan anak didik Thomas Tuchel tentu menyedari betapa mereka perlu mengilhamkan kemenangan – dan mereka tiada pilihan lain – sekali gus menamatkan kemarau tanpa gelaran sejak 60 tahun lalu.

England sudah lama tidak bertembung dengan Argentina. Untuk melihat lebih jelas akan tempoh itu, fahami saja hakikat ini: Perlawanan awal pagi Khamis ini adalah detik pertama Messi berdepan dengan skuad England dalam mana-mana Piala Dunia.
Pada sisi lain, pertembungan kedua-dua pasukan boleh dianggap sebagai detik memadam luka silam.
Detik-detik Diego Maradona membenam England semasa aksi suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico masih terbayang. Di situlah Maradona mempamerkan aksi ‘hand of god’ yang kontroversi sebelum dia ‘menebus dosa’ itu dengan jaringan kedua yang amat mengagumkan.
Gol kedua Maradona itu dianggap antara jaringan terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.
Sifat seteru itu berterusan dalam edisi 1998 di Perancis. David Beckham dibuang padang gara-gara menyepak Diego Simeone dalam saingan penuh emosi pada aksi 16 terakhir.
Kedua-dua bekas tonggak pasukan itu dijangka hadir menyaksikan perlawanan penting ini nanti.
England sedar untuk menyekat Argentina, mereka perlu merantai Messi. Namun, ia lebih mudah untuk disebut.
Penentu kemenangan mutlak
Penyerang licik yang kini sudah berusia 39 tahun dipercayai akan tetap menjadi duri dalam dan luar daging kepada England. Justeru England perlu mencari seorang pemain untuk terus menutup ruang dan menghampakan legenda itu.
Calonnya pasti Declan Rice – itu pun jika dia cukup cergas. Tugasan itu tidak mustahil kerana kapten Switzerland, Granit Xhaka berjaya mengunci pergerakan Messi dengan kawalan padu pada setiap minit permainan di saingan suku akhir.
Jika skuad La Albiceleste itu memiliki Messi, England sudah ada ayam tambatan baru iaitu Bellingham yang sudah meledakkan enam gol setakat ini. Dia disebut-sebut bakal menjadi h penentu kemenangan pasukannya.
Tidak dinafikan England yang dikepalai oleh Harry ‘King’ Kane mempunyai banyak kualiti dalam pasukan untuk diterjemahkan kepada kemenangan kali ini.
Argentina pula dengan sentuhan Messi bergelut mencari rentak permainan pada tiga perlawanan terakhir mereka sebelum merakamkan kemenangan.
Apakah tuah sama itu akan berakhir kali ini?
Penulis dapat merasakan sesuatu bahawa England mampu ke final dan lawannya nanti ialah Sepanyol.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





