Kerajaan tidak sepatutnya menafikan hak ladang babi yang mematuhi undang-undang untuk terus beroperasi hanya kerana pencemaran yang dilakukan segelintir pengusaha, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.
Chan menegaskan tindakan penguatkuasaan sepatutnya disasarkan terhadap ladang yang melanggar undang-undang alam sekitar, bukannya mengenakan hukuman menyeluruh terhadap seluruh industri.
“Isu sebenar bukanlah sama ada industri itu babi, ayam, lembu atau kambing. Isunya ialah pematuhan kepada undang-undang.
"Mana-mana ladang yang mencemarkan alam sekitar mesti dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

“Tetapi apabila sebuah industri telah dimodenkan, beroperasi secara sah dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan, mengapa hak mereka untuk terus beroperasi mahu dinafikan?
"Adakah kita mahu menghukum keseluruhan industri hanya kerana kesalahan segelintir? Jika begitu logiknya, adakah setiap industri ternakan lain juga wajar ditutup setiap kali berlaku kes pencemaran?
"Dasar kerajaan tidak boleh dibentuk berdasarkan persepsi, sentimen atau retorik politik. Dasar mesti berpaksikan fakta, bukti dan prinsip keadilan,” katanya pada hantaran di Facebook.
Chan berkata demikian sebagai menjawab Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan yang mencadangkan dalam sidang Kamar Khas Dewan Rakyat pada Rabu supaya semua kegiatan penternakan babi di kawasannya ditutup susulan pencemaran Sungai Kereh.

Menurut Wan Saiful, sungai itu berdepan “pencemaran kronik” apabila sisa buangan tidak dirawat dan air buangan industri dari ladang babi berhampiran Kampung Selamat dilepaskan ke dalam sungai sehingga menjejaskan mata pencarian penduduk di kawasan itu.
Kelompongan bidang kuasa
Ahli Parlimen pembangkang itu turut mengeluh kerana tindakan yang diambil dalam isu berkenaan masih sedikit berikutan wujud kelompongan bidang kuasa antara agensi dalam menyelesaikannya.
Wan Saiful mendakwa penguatkuasaan terjejas kerana JAS menganggap sisa penternakan berada di luar bidang kuasanya, manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang berdepan kekurangan kapasiti.

Menurutnya, hanya tiga pegawai penguat kuasa ditugaskan memantau kawasan penternakan yang luas sambil berdepan risiko fizikal, ancaman haiwan berbisa dan pendedahan kepada gas ammonia.
Dakwanya lagi, denda yang rendah tidak cukup untuk menghalang pengusaha ladang babi bernilai jutaan ringgit daripada mengulangi kesalahan.
Wan Saiful turut mencadangkan kerajaan meliberalisasikan import daging babi bagi memastikan bekalan mencukupi dan peralihan keluar daripada industri itu berjalan lancar, dengan menyebut usaha menggalakkan tanaman kenaf sebagai alternatif kepada penanaman tembakau sebagai contoh terdahulu.
‘Sungai Kereh sedang pulih’
Bagaimanapun, Chan menolak hujah Wan Saiful dengan berkata perkembangan positif sudah dapat dilihat di Sungai Kereh, manakala pemantauan mingguan menunjukkan sungai itu sedang pulih.
Dia menegaskan bahan najis terampai tidak lagi dikesan manakala sungai berkenaan tidak lagi berwarna hitam dan keruh seperti sebelum ini.
Chan mengaitkan penambahbaikan itu dengan arahan yang berkuat kuasa pada 4 Mei, yang mewajibkan ladang babi menghantar sisa kumbahan mereka ke loji rawatan biogas.
Dia turut menegaskan semua ladang babi sah di Pulau Pinang sudah mencapai kadar pemodenan 100 peratus sejak 2023 manakala ladang haram sudah ditutup.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu turut menolak perbandingan Wan Saiful dengan industri tembakau dengan berkata Malaysia tidak pernah menghapuskan penanaman tembakau meskipun industri itu merosot dan mempersoalkan mengapa industri penternakan babi perlu dilayan secara berbeza.
Chan berkata penternakan babi merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan makanan negara dan tanggungjawab kerajaan ialah memastikan industri itu mematuhi undang-undang, bukannya menafikan hak perniagaan yang beroperasi secara sah untuk terus menjalankan kegiatan mereka.
Dia menggesa pembuat dasar membuat keputusan berlandaskan fakta, bukti dan prinsip keadilan, bukannya persepsi, sentimen atau retorik politik, sambil menegaskan perbahasan demokratik tidak sepatutnya mengorbankan industri yang mematuhi undang-undang.
[Baca berita asal]





