Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan setakat ini tidak mengambil sebarang tindakan terhadap media antarabangsa, Bloomberg berhubung laporannya berkaitan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Fahmi yang merupakan jurucakap kerajaan menegaskan hak media untuk memetik sumber dalam berita, namun pada masa sama membangkitkan hak untuk memberi maklum balas terhadap laporan tersebut.
“Perdana menteri tak ambil apa-apa tindakan setakat ini atau memaklumkan kabinet,” katanya dalam sidang media hari ini.
“Media ada hak untuk buat laporan serta merahsiakan dan melindungi sumber mereka. Tapi kita juga harap media beri hak untuk memberi jawapan atau right to reply,” katanya lagi.
Pada bulan lalu, Bloomberg menyiarkan laporan memetik tiga sumber yang tidak dinamakan yang mendakwa Anwar mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk tidak menyiasat pembelian saham syarikat HeiTech Padu Bhd oleh bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
HeiTech Padu adalah syarikat penyedia perkhidmatan teknologi dan dikaitkan dengan projek sistem imigresen yang baru bernilai RM1 bilion.
Pada Mac lalu, Farhash didakwa membuat pelaburan hampir RM40 juta dalam HeiTech Padu selepas syarikat itu disenarai pendek untuk kontrak kerajaan.
[Berita lanjut menyusul]





