Skuad sepak takraw negara terus memantau rapat kekuatan Thailand yang dianggap seteru utama pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw Dunia 2026.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharudin berkata pemantauan terhadap corak permainan Thailand sudah dilakukan sejak hari pertama kejohanan bagi membolehkan pasukan negara melakukan persiapan lebih rapi selain menyifatkan pasukan berkenaan tampil lebih konsisten menerusi gabungan pemain muda berkualiti.
“Kita memang dari hari pertama memantau kekuatan Thailand dan juga pasukan lain untuk membuat persediaan. Kalau tengok pemain Thailand, mereka memang mengagumkan khususnya pemain muda dan tekong mereka.
“Mereka nampak lebih konsisten dan kita juga perlu memastikan pemain negara cepat menyesuaikan diri serta tidak kekok beraksi sebagai tuan rumah,” katanya kepada pemberita di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Ahmad Jais berkata skuad regu negara tidak memandang rendah cabaran Filipina menjelang aksi suku akhir malam ini meskipun turun dengan reputasi lebih baik.
Beliau berkata rekod pertemuan terdahulu membuktikan Filipina mampu mencetuskan kesukaran kepada Malaysia, termasuk ketika aksi Piala Asia pada tahun lepas yang menyaksikan skuad negara hanya menang menerusi tie-break.
“Bagi kita semua perlawanan adalah penting dan kita tidak akan sesekali memandang rendah pasukan lawan kerana itu akan memberikan tekanan kepada kita sendiri.
“Acara regu sangat terbuka dan setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri, jadi pemain perlu lebih konsisten dari segi taktikal, pertahanan dan serangan untuk mendapatkan mata,” katanya.
Beliau turut menyifatkan momentum permainan regu negara ketika ini masih belum mencapai tahap terbaik dengan pemain dilihat sedikit perlahan untuk mendapatkan rentak khususnya dalam aksi pada sebelah pagi.
Beliau berkata prestasi keseluruhan skuad regu negara setakat ini hanya sekitar 70 hingga 80 peratus dan berharap peningkatan dapat dipamerkan bermula aksi menentang Filipina malam ini.
Skuad regu negara melangkah ke suku akhir apabila menjuarai Kumpulan A selepas mudah ‘melibas’ Singapura 2-0 pada aksi kedua kumpulan hari ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara menjuarai Kumpulan A dan dijadual bertemu Filipina selaku naib juara Kumpulan D pada aksi suku akhir malam ini.





