Lawyers for Liberty (LFL) menyelar siasatan “tidak masuk akal” Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap orang ramai kerana didakwa membuat komen jelik dan provokatif di media sosial berhubung sidang Dewan Rakyat.
Pengarah NGO hak asasi itu, Zaid Malek berkata justifikasi MCMC bahawa siasatan adalah untuk "membendung fenomena buli siber yang berleluasa dalam kalangan masyarakat" menjadi bahan bahan ketawa dan berlebihan.

“Parlimen adalah institusi awam. Ia tidak boleh menjadi mangsa buli siber.
“Siapa pula yang dibuli? Adakah institusi atau Parlimen, atau ahli parlimen yang menganggotainya? Ahli Parlimen mana yang mendakwa telah dibuli siber?” soal Zaid dalam satu kenyataan hari ini.
Dia mengulas menjawab kenyataan SKMM semalam bahawa empat individu dari Selangor, Kedah, Pulau Pinang, dan Perlis, sedang disiasat berhubung komen jelik dan provokasi yang didakwa disiarkan menerusi siaran ulangan sesi Parlimen di TikTok pada 9 Julai.
Mengulas lanjut, Zaid berkata siasatan MCMC seolah-olah menggambarkan satu lagi percubaan "keras dan menyalahi undang-undang" untuk menyekat kritikan dan perdebatan awam, dengan menggunakan buli siber sebagai alasan.
Ia juga bertentangan dengan Perkara 10(1)(a) yang menjamin hak kebebasan bersuara, tambahnya.

Zaid berkata rakyat mempunyai hak demokratik untuk mengkritik Parlimen dan ahli parlimen yang membentuk institusi itu dan untuk menganggapnya seolah-olah sebagai tidak boleh dikritik adalah salah dan bertentangan dengan tujuan asas dewan yang mulia itu ditubuhkan.





