29.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Saman RM1.9j terhadap Thomas: Najib bawa kes ke Mahkamah Persekutuan

    Shopee Sale

    Bekas perdana menteri, Najib Razak telah memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung saman RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara, Tommy Thomas, selepas Mahkamah Rayuan menolak kes tersebut pada Januari lalu.

    Dalam usul yang difailkan bulan lalu, pasukan peguam Najib daripada firma guaman Tetuan Raj, Ong & Yudistra mengemukakan tiga persoalan undang-undang:

    • Sama ada tuntutan sivil (tort) proses berniat jahat wajar diperkenalkan sebagai kausa tindakan di bawah undang-undang Malaysia, dan jika ya, apakah elemen serta skop bagi kausa tindakan ini?

    • Sama ada seseorang peguam negara, berdasarkan kelakuannya sebelum pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh, kelakuan selepas pertuduhan dibuat, dan kelakuan selepas pegawai awam tersebut (dalam kes ini bekas peguam negara) meninggalkan jawatan, boleh dianggap (jika terbukti) sebagai tuntutan sivil proses berniat jahat?

    • Sama ada tuntutan sivil salah laku dalam jawatan awam (misfeasance in public office), khususnya melibatkan tindakan peguam negara berkaitan kelakuannya sebelum, semasa, dan selepas memegang jawatan, adalah bergantung kepada keputusan pendakwaan jenayah tersebut?

    Sementara itu, peguam Yudistra Darma Dorai memberitahu FMT bahawa permohonan kebenaran merayu tersebut akan didengar pada 30 Julai ini.

    “Ini berkaitan dengan dakwaan anak guam saya terhadap tindakan, kelakuan dan kecuaian bekas Peguam Negara berhubung Najib Razak, sebelum semasa dan selepas Thomas menjadi peguam negara,” katanya.

    MENARIK:  MB Perlis dibebas dengan jaminan SPRM lepas disoal siasat

    Pada 13 Jan lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk menghidupkan semula saman terhadap Thomas tersebut.

    Dalam penghakimannya, panel tiga hakim yang diketuai oleh P Ravinthran berkata walaupun mahkamah tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi sebelum ini bahawa peguam negara mempunyai imuniti terhadap saman sivil, namun mahkamah bersetuju bahawa saman Najib adalah pramatang.

    Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Najib membayar kos sebanyak RM12,000 kepada Thomas.

    Dalam saman sivil yang difailkan pada 2020, Najib mendakwa Thomas telah melakukan salah laku dalam jawatan awam ketika mendakwanya atas pertuduhan berkaitan kes 1MDB.

    Tindakan undang-undang Najib terhadap Thomas tertumpu kepada dakwaan pendakwaan salah terhadap bekas menteri kewangan itu dalam empat kes jenayah yang sedang berjalan: kes rasuah 1MDB RM2.28 bilion, kes laporan audit 1MDB, kes pecah amanah International Petroleum Investment Company (IPIC) RM6.6 bilion, dan kes pengubahan wang haram SRC International RM27 juta.

    Bekas ahli parlimen Pekan itu memohon deklarasi bahawa Thomas telah melakukan salah laku dalam jawatan awam, serta menuntut ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk mengendalikan pendakwaan terhadapnya.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi telah membatalkan saman berkenaan pada 25 Nov 2022.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah