Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global, S Shashi Kumar menggesa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail melarang pelancong asing Abdellatif Ouisa daripada memasuki semula ke Malaysia.
Ini selepas pempengaruh media sosial itu membaca ayat Al-Quran di hadapan Kuil Batu Caves.
"Sebagai pelancong dan pelawat ke Malaysia, dia tidak menghormati undang-undang dan rakyat kita kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum.
"Apakah niatnya membaca ayat-ayat al-Quran di tempat ibadat bukan Islam? Ia adalah niat yang jelas menghina dan mempersendakan agama bukan Islam," kata Shashi dalam kenyataan hari ini.
Abdellatif Ouisa sebelum ini meminta maaf atas kejadian itu dan menyiarkan video di laman TikToknya (@abdeentube) menjelaskan bahawa dia menganggap Batu Caves sebagai tapak bersejarah dan tidak menyedari ia merupakan kawasan ibadat.

"Saya ingat ia tempat bersejarah untuk semua, seperti setiap pelancong, boleh baca dan buat 'content' di sana, jadi itu yang saya buat.
"Saya tak fikir ia akan menyinggung orang lain, terutama penganut agama Hindu, dan saya mohon maaf jika saya ada menyinggung sesiapa.
Bagaimana jika dilakukan orang bukan Islam?
Bagaimanapun, Shashi berpendapat alasan pelancong itu tidak boleh diterima.
Dia juga mempersoalkan jjika seorang bukan Islam melakukan kesalahan yang sama di masjid, adakah individu itu akan dilepaskan hanya dengan meminta maaf.

"Abdellatif ialah seorang influencer yang terkenal kerana berkongsi kandungan keagamaan dan mempunyai pengikut yang ramai di pelbagai platform media sosial, termasuk TikTok, YouTube dan Instagram.
"Sekiranya kerajaan Madani serius memerangi isu 3R (agama, bangsa dan raja-raja) dan tidak membenarkan tindakan menghina kaum dan agama seperti itu, maka menteri dalam negeri harus bertindak mengharamkan Abdellatif sebagai pengajaran kepada mereka yang mempunyai niat jahat," katanya.
Dia berkata di Singapura, pendakwah Ismail Menk dari Zimbabwe, Yusuf Estes dari Amerika Syarikat dan Haslin Baharim dilarang memasuki negara itu atas dakwaan menyebarkan fahaman keras dan memecahbelahkan kaum.
"Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang Singapura K Shanmugam berkata ia adalah ‘tidak boleh diterima’ dan ‘bertentangan’ dengan nilai masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
"Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Abdellatif dan lebih banyak lagi akan datang.
"Tidak boleh ada sebarang benih perpecahan yang disebabkan oleh sentimen perkauman, pelampau, ejekan dan penghinaan," kata Shashi.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar mengecam tindakan Abdellatif.
Mohd Na'im menganggap tindakan Abdellatif sangat tidak wajar dan memberi amaran tindakan provokatif itu boleh menjejaskan kewujudan bersama secara aman agama berbeza di negara ini.
Menteri itu menegaskan bahawa Islam melarang keras menghina agama lain kerana ia hanya akan mencetuskan tindakan balas dan permusuhan.
Selaras dengan pandangan Na’im, ahli parlimen Bangi Syahredzan Johan menyeru agar pempengaruh itu dilarang daripada memasuki Malaysia.





