Remaja Nur Izzati Humaira Azizul yang dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa di Hulu Selangor, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mayat remaja itu ditemukan di luar laluan mendaki oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada kira-kira 11.59 pagi.
“Mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Pasukan SAR mengambil masa 20 minit membawa mayat ke PKTK menggunakan pengusung,” katanya kepada Bernama di PKTK di Hulu Selangor hari ini.
Beliau berkata mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bezah siasat.
Terdahulu, SAR yang masuk hari keempat hari ini dimulakan pada 8 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi keselamatan selepas ditangguhkan pada 6.30 petang semalam.
Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian agar sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.
Selain itu, Ahmad Mukhlis berkata mangsa ditemukan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) di kawasan landai dalam keadaan terlentang tanpa kesan kecederaan yang dapat dilihat serta sempurna tanpa kesan serangan haiwan liar.
“Memandangkan Nur Izzati Humaira berpakaian baju lengan panjang ketika kejadian, tiada sebarang tanda kecederaan fizikal ketara dapat dilihat pada luaran,” katanya.
Beliau berkata mangsa ditemukan kira-kira enam meter dari sebuah denai iaitu laluan ke kawasan kebun, dengan kemungkinan remaja itu telah tersasar dari laluan asal lalu tersesat.





