25.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 15, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tradisi Tak Hilang, Cuma Bertukar Wajah! 4 Cara Generasi Muda Beri Nafas Baharu Pada Warisan Budaya

    Shopee Sale

    Siapa kata generasi muda sudah tidak berminat dengan budaya dan warisan? Hakikatnya, apa yang berubah mungkin bukan minat mereka terhadap tradisi, tetapi cara mereka mengenali dan menikmatinya.

    Lagu rakyat kini boleh muncul dalam susunan pop moden, tarian tradisional boleh meledak di TikTok, manakala songket pula tidak lagi terhad kepada majlis rasmi.

    Terbaharu, penyanyi Iman Troye bersama Asslahierah tampil dengan Jung Jung Inai, sebuah karya pop etnik moden yang menggabungkan elemen tradisional dengan bunyi kontemporari.

    Malah, video muzik lagu tersebut turut menggunakan inspirasi legenda Nusantara apabila Iman membawa karakter Puteri Gunung Banang manakala Asslahierah sebagai Puteri Gunung Ledang.

    Bukan Iman seorang sahaja. Sejak kebelakangan ini, semakin banyak contoh menunjukkan elemen budaya lama sedang diberi wajah baharu untuk lebih dekat dengan generasi digital.

    Jadi, adakah tradisi semakin ditinggalkan atau sebenarnya sedang melalui satu bentuk evolusi?

    Artikel Berkaitan: [VIDEO] Iman Troye Raih RM2.5 Juta, Diamond Artist XO House – ‘Jung Jung Inai’ Cecah 1.5 Juta Streams

    MENARIK:  Che Ta Dipilih Sebagai Pengacara Program Bukan Satu Gimik – ‘Semua Manusia Melakukan Kesilapan’

    Artikel Berkaitan: AJL40: Persembahan ‘Cak Cak Cekuk’ Meriah & Dapat ‘Standing Ovation’, Wani Kayrie Angkut 61 Penari Atas Pentas

    1. Lagu rakyat diberi ‘makeover’ untuk generasi baharu

    Antara contoh paling jelas ialah Cak Cak Cekuk nyanyian Wani Kayrie. Menurut RTM, lagu berkonsepkan pop moden bernuansa tradisional itu mengambil inspirasi daripada lagu rakyat Cak Cekur Udang Gamit, sebelum diberi susunan muzik yang lebih segar dan kontemporari.

    Menariknya, Wani dan pasukannya bukan sekadar mengambil melodi yang familiar, malah memasukkan cerita yang dekat dengan kehidupan pasangan muda hari ini mahu mendirikan rumah tangga tetapi berdepan kekangan kewangan.

    Muzik videonya juga menggunakan imej perkahwinan Melayu, kompang dan suasana kampung yang menjadikan elemen tradisional itu sebahagian daripada identiti keseluruhan karya.

    Pendekatan sama boleh dilihat menerusi Jung Jung Inai, yang membawa elemen tradisional ke dalam genre pop etnik moden serta menyuntik inspirasi legenda Nusantara dalam visualnya.

    " data-video-id="7684274702793329940" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @xtra_my

    Replying to @𝐌𝐨𝐜𝐡𝐚 𝐏𝐢𝐧𝐠 Alalala comelnya lagu Jung Jung Inai kolaborasi Iman Troye bersama Asslahierah 🤩 Cantik sangat dua-dua 🥰 Apa kata korang? Komen & follow OHBULAN! dan Xtrapedia untuk berita terkini. #xtramy #xtrapediaAP #ImanTroye #fyp

    ♬ original sound – XTRA – XTRA

    Maksudnya, generasi baharu tidak semestinya perlu menyanyikan semula lagu tradisional dalam bentuk asal. Kadangkala, satu melodi, frasa, karakter atau elemen budaya sudah cukup menjadi titik permulaan kepada karya baharu.

    Sumber: Portal Berita RTM; MDaily; Rocketfuel Entertainment.

    2. Tarian tradisional kini boleh viral hanya dalam beberapa saat

    Kalau dahulu zapin dan joget lebih banyak dilihat di pentas kebudayaan, hari ini ia boleh muncul di FYP jutaan pengguna. Fenomena itu jelas menerusi lagu Jodoh Lebaran nyanyian Aisha Retno.

    Menurut Bernama, lagu tersebut mencetuskan trend pengguna media sosial mempersembahkan semula gerakan joget tradisional yang ditampilkan dalam video muzik berkenaan.

    " data-video-id="7614100289989184789" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @aisharett

    ‘Jodoh Lebaran’ official Music Video out everywhere now! A pure raya love story song with a musical twist ! Jodoh di hari raya dah dapat ke sayang? #jodohlebaran

    ♬ Jodoh Lebaran – Last Chorus – Aisha Retno

    Antara yang paling mencuri perhatian ialah video berdurasi hanya 32 saat daripada tiga anak muda Nyala Dance Theatre yang menggabungkan gerakan zapin dan joget. Video itu dilaporkan meraih 2.3 juta tontonan dan 178,400 tanda suka di TikTok.

    Apa yang lebih menarik, ahli kumpulan berkenaan melihat media sosial bukan sekadar tempat mempamerkan tarian, tetapi juga ruang untuk membuatkan lebih ramai anak muda mengenali kepelbagaian seni tari Melayu.

    Ia menunjukkan content pendek tidak semestinya menjadi ancaman kepada seni tradisi. Sebaliknya, jika dikemas dengan cara yang tepat, satu video beberapa saat pun boleh menjadi pintu masuk kepada warisan yang telah wujud jauh lebih lama daripada TikTok sendiri.

    Sumber: Bernama

    3. Songket tak lagi hanya untuk majlis rasmi

    Perubahan cara generasi muda melihat warisan bukan hanya berlaku dalam muzik. Dunia fesyen juga semakin berani mengambil tekstil dan busana tradisional lalu meletakkannya dalam konteks yang lebih moden.

    Pada Kuala Lumpur Fashion Week 2025, pereka muda Zachrin Jaafars mengetengahkan koleksi yang mendapat inspirasi daripada pakaian tradisional Pantai Timur tetapi diberikan sentuhan kontemporari.

    Lebih menarik, songket dalam koleksi tersebut bukan sekadar digunakan sebagai busana tradisional. Ia turut diolah menjadi skirt, topi dan kasut, sekali gus memperlihatkan bagaimana tekstil warisan boleh dibawa keluar daripada imej formal dan diterjemahkan sebagai fesyen harian.

    " data-video-id="7670211015417613588" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @ehmalaysia

    Zachrin Jaafars tampil dengan inspirasi sulam tradisi tekat pada perincian koleksinya di KL Fashion Week 2026 #ehmalaysia #klfw2026

    ♬ Ikan Kekek – Zamaera

    Zachrin sendiri melihat budaya Pantai Timur sebagai sesuatu yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan serta disesuaikan dengan pakaian kasual atau kegunaan seharian.

    Ini mungkin antara perubahan paling penting dalam memastikan warisan terus relevan. Budaya tidak lagi hanya dilihat sebagai sesuatu untuk dipakai ketika acara tertentu, tetapi boleh menjadi sebahagian daripada identiti gaya generasi hari ini.

    Sumber: Bernama

    4. Budaya tempatan kini boleh ‘travel’ ke seluruh dunia melalui content

    Sebelum era digital, memperkenalkan budaya tempatan kepada khalayak antarabangsa banyak bergantung kepada festival, persembahan fizikal atau promosi pelancongan.

    Hari ini, sebuah video boleh membawa budaya tempatan kepada ratusan juta penonton. Contohnya, Tourism Selangor melaporkan FOLK SONG GALA: Selangor Edition berjaya melepasi 240 juta tontonan, sekali gus menjadi program paling banyak ditonton untuk musim ketiga rancangan berkenaan.

    Program yang diterbitkan bersama Tourism Selangor dan Guangxi Radio and Television itu menggunakan muzik, budaya, pelancongan serta storytelling untuk memperkenalkan warisan dan identiti Selangor kepada khalayak di China dan pasaran antarabangsa.

    Momentum tersebut kemudiannya diteruskan melalui Surprising Selangor TikTok Dance BGM Challenge. Muzik latar untuk kempen itu pula menggabungkan lagu rakyat Malaysia Ikan Kekek dengan lagu klasik Cina Wan Shui Qian Shan Zong Shi Qing.

    " data-video-id="7614740756972014866" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @kesenianpadatselangor

    New Folk Gala Song 2026, Love & passion x Ikan Kekek 🤍 Malaysia, Selangor × GuangXi China❤✨ @Layla Sania蕾拉 #selangorkanada #tourismselangor

    ♬ suara asli – L L U Z U N 💃 – L L U Z U N 💃

    Daripada sekadar lagu rakyat tempatan, Ikan Kekek akhirnya menjadi sebahagian daripada kempen digital yang menghubungkan dua budaya. Itulah kuasa era digital, warisan tidak lagi terikat kepada satu tempat sahaja.

    Sumber: Tourism Selangor

    Tradisi tak hilang, cuma cara menikmatinya berubah

    Daripada Cak Cak Cekuk dan Jung Jung Inai, fenomena tarian Jodoh Lebaran, penggunaan songket dalam fesyen moden hinggalah lagu lama yang mendapat kehidupan kedua di TikTok, trend ini menunjukkan satu perkara.

    Generasi muda sebenarnya tidak semestinya menolak budaya lama. Mereka cuma membawanya masuk ke dalam dunia yang mereka kenal iaitu dunia streaming, TikTok, fesyen, content pendek dan budaya visual.

    Sudah tentu, usaha memodenkan warisan perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya asal-usul, konteks dan identitinya tidak hilang.

    Namun mungkin mempertahankan tradisi tidak semestinya bermaksud memastikan semuanya kekal dalam bentuk yang sama.

    Kerana akhirnya, warisan yang terus digunakan, dinikmati dan diperkenalkan kepada generasi seterusnya mempunyai peluang lebih besar untuk terus hidup.

    The post Tradisi Tak Hilang, Cuma Bertukar Wajah! 4 Cara Generasi Muda Beri Nafas Baharu Pada Warisan Budaya first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah