Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp) hari ini mengumumkan pelantikan Biruntha Mooruthi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu menggantikan Edward Ling, berkuat kuasa hari ini.
Watikah pelantikan disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan di pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya.
Ramanan berkata rekod kepimpinan Biruntha dalam memacu inisiatif nasional, memperkasa agenda inovasi serta merapatkan jurang antara penyelidikan dan keperluan pasaran adalah sesuatu yang amat bernilai dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.
Pelantikan tokoh wanita itu juga langkah penting dalam usaha memperkukuh strategi pembangunan bakat negara yang lebih dinamik, berfokus dan selari dengan keperluan industri semasa.
“Dengan pengalaman kepimpinan lebih 20 tahun merangkumi sektor kerajaan, akademia dan industri, saya yakin Biruntha mampu menerajui Talent Corp ke arah pencapaian yang lebih cemerlang serta berimpak tinggi.
“Sumbangan beliau dalam membimbing ribuan usahawan dan mempercepat pengkomersialan teknologi turut membuktikan komitmen tinggi terhadap pembangunan ekosistem bakat dan inovasi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau yakin Talent Corp akan terus memainkan perananan strategik sebagai badan pemikir utama dalam memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta memastikan dasar bakat negara memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan di bawah kepimpinan Biruntha.
Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada Ling atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui Talent Corp.
Sementara itu, kenyataan Talent Corp memaklumkan Biruntha pernah menyandang beberapa jawatan kepimpinan kanan antaranya PlaTCOM Ventures di bawah Agensi Inovasi Malaysia dan felow di Universiti Tenaga Nasional.
“Pengalaman tersebut memperkukuh kepakaran beliau dalam menerajui program berskala besar khususnya dalam pengkomersialan teknologi, kerjasama industri-akademia dan pelaksanaan inovasi dalam sektor tenaga, teknologi serta kelestarian yang mendalam.
“Antara pencapaian signifikan beliau ialah menerajui program pembiayaan inovasi di peringkat nasional, mempercepat usaha pengkomersialan teknologi selain berperananan penting membina kerjasama strategik bersama pihak industri bagi merapatkan jurang antara penyelidikan dan penerimaan pasaran,” menurut kenyataan itu.
Beliau juga telah membimbing dan melatih lebih 5,000 usahawan, inovator dan perniagaan di seluruh negara.
Biruntha ialah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti Victoria dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Komputer Universiti Coventry.





