25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Rafizi letak jawatan menteri ekonomi, akui hilang mandat parti

    Shopee Sale

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun ini, iaitu kurang dua minggu dari sekarang.

    Menurut Rafizi, dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan akan menghabiskan cuti tahunan sehingga tarikh akhir tersebut.

    “Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu turut dikongsi di media sosialnya.

    Pengunduran itu hadir selepas kekalahannya dalam pengundian PKR baru-baru ini – yang menurut menteri ekonomi itu, memberi isyarat jelas bahawa dia tidak lagi mempunyai mandat politik untuk terus menterjemahkan agenda parti dalam pentadbiran kerajaan.

    "Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

    “Kekalahan saya dalam pengundian PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan," katanya.

    Jumaat lalu, pada Pemilihan PKR peringkat pusat, Rafizi gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden apabila dikalahkan oleh Nurul Izzah Anwar.

    Anak sulung perdana menteri itu dan Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Ismail memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan kedua tertinggi kepimpinan parti itu, yang hanya meraih 3,866 undi.

    Mengakui amalan demokrasi yang mengangkat prinsip akauntabiliti politik, Rafizi berkata pemimpin yang tewas dalam pengundian parti wajar memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk menyertai barisan pentadbiran.

    MENARIK:  Pemuda Amanah: Beri ruang Tiong bentang pelan tarik pelancong

    Tugasan terakhir: RMK13

    Dalam kenyataan sama, Rafizi memaklumkan amanah terakhirnya sebagai menteri ialah memuktamadkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang kini sedia untuk dibentangkan di Parlimen.

    Dia berkata RMK13 memberi penekanan kepada reformasi menyeluruh dalam sektor pendidikan, termasuk cadangan perubahan struktur terhadap Kementerian Pendidikan – yang disifatkan sebagai "reformasi berani".

    "Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri."

    Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi yang disifatkannya sebagai efisien dan berkemampuan tinggi dalam merangka dasar serta program yang berimpak.

    "Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini. Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara akan terus dilaksanakan dengan jaya."

    Pesanan akhir

    Mengakhiri kenyataannya, Rafizi menitipkan penghargaan kepada rakyat, penjawat awam, sektor swasta, media, serta semua pihak yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang tempoh perkhidmatannya.

    Dia menyeru agar semua pihak terus menyokong keputusan dasar jangka panjang, walaupun keputusan tersebut sukar dan tidak popular.

    "Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, demi generasi masa hadapan."

    Peletakan jawatan Rafizi dijangka mencetuskan rombakan kecil dalam kabinet, khususnya melibatkan portfolio ekonomi strategik.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah