Kadar keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 mencecah 26.43 peratus setakat pukul 11 pagi hari ini, mengatasi kadar yang direkodkan pada waktu sama semasa PRN lepas.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata hingga 11 pagi ini seramai kira-kira 709,000 pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Beliau berkata pada PRN 2022, kadar keluar mengundi setakat 11 pagi hanya sekitar 21 peratus, sekali gus menunjukkan peningkatan yang positif.
"Kita mengharapkan momentum ini akan berterusan sehingga ke petang bagi memastikan seramai mungkin pengundi berdaftar keluar mengundi," katanya selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, di Johor Bahru, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, hujan yang melanda beberapa kawasan termasuk Muar, Kluang dan Johor Bahru dijangka memberi sedikit kesan kepada kadar keluar mengundi pada sebelah petang.

"Akibat daripada hujan ini kita menjangkakan ada sedikit gangguan (kepada peratusan keluar mengundi). Tapi kita masih lagi boleh (capai) sekitar 65 hingga 70 peratus," katanya.
Mengenai perjalanan proses pengundian, Ramlan berkata setakat ini SPR tidak menerima sebarang laporan insiden serius, sebaliknya hanya kesalahan kecil berkaitan pilihan raya.
Secara keseluruhan sehingga malam tadi, sebanyak 799 laporan telah diterima, dengan 96 kes di bawah siasatan polis manakala selebihnya melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kesalahan lain seperti pemasangan poster dan sebagainya.
"Jadi kes-kes yang di bawah tindakan polis itu, (akan) serah kepada pihak polis untuk meneliti," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa pengundi berpakaian tertentu seperti berseluar pendek tidak dibenarkan mengundi.
"Tidak ada isu berkaitan kod pemakaian kerana perkara itu bukan di bawah peruntukan undang-undang pilihan raya," katanya.
Mengulas isu pengundi warga emas yang tersalah pusat mengundi, Ramlan berkata pengundi sepatutnya membuat semakan pusat mengundi lebih awal bagi mengelakkan kekeliruan pada hari pengundian.
Bagaimanapun, beliau berkata SPR turut menyediakan kaunter semakan di pusat mengundi dan akan membantu sebaik mungkin semua pengundi yang terlibat supaya mereka dapat menunaikan tanggungjawab mengundi.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari
-Bernama





