PRN NEGERI SEMBILAN | Kurang 24 jam sebelum pengundi di “Negeri Beradat” menunaikan tanggungjawab mengundi, tiga kerusi majoriti Melayu di kawasan Greater Seremban dijangka menjadi antara medan persaingan paling sengit dalam PRN Negeri Sembilan.
Terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur, Ampangan, Sikamat dan Labu mempunyai demografi yang hampir sama, dengan pengundi Melayu membentuk lebih 70 peratus daripada keseluruhan pengundi di setiap kawasan.
Situasi ini menjadi cabaran buat PH yang berdepan peningkatan sentimen “perjuangan Melayu” yang dibawa oleh BN dan PN sepanjang kempen pilihan raya.
Bagaimanapun, tinjauan Malaysiakini mendapati walaupun isu kaum masih mempengaruhi sesetengah pengundi, setiap kawasan mempunyai isu tersendiri yang turut menjadi perhatian.
Pengundi kini dilihat lebih matang dalam membuat pilihan dengan menilai calon dan dasar, bukan hanya berdasarkan sokongan kepada parti.
Di Ampangan, calon PAS Rafie yang akan menentang penyandang kerusi daripada PKR, Nazri Kassim, serta calon Bersatu Azzah Harun, dilihat mendahului persaingan.

Sesetengah pengundi percaya Nazri berdepan cabaran getir bukan sahaja disebabkan gabungan BN-PN, tetapi juga kerana rekod Rafie ketika dia berkhidmat sepenggal sebagai wakil rakyat Ampangan antara 2018 hingga 2023 selepas memenangi kerusi itu atas tiket PH.
Rafie kemudian bertanding di kerusi tersebut pada 2023 sebagai calon bebas selepas diketepikan PKR yang mencalonkan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
Walaupun tewas kepada bekas rakan partinya itu, Rafie berjaya memperoleh 3,079 undi, menyebabkan Tengku Zamrah hanya menang dengan majoriti 329 undi berbanding calon PN ketika itu, Ghazali Zainal Abidin, yang memperoleh 5,725 undi.

Rafie yang kini merupakan ahli PAS mempunyai kedudukan lebih kukuh di Ampangan, sebuah kawasan yang mempunyai 21,336 pengundi berdaftar, selain menerima sokongan jentera BN dan dijangka dapat menggabungkan sokongan daripada kedua-dua kelompok pengundi.
Satu lagi cabaran yang dihadapi PH ialah krisis kepercayaan dalam kalangan penduduk apabila sebahagian pengundi mendakwa Zamrah tidak menunjukkan prestasi sebaik Rafie ketika menjadi wakil rakyat.
"Adun sekarang ni? Sorry to say la, sebelum jadi YB selalu boleh jumpa bertemu. Tapi bila dah duduk tempat dia susah sekali nak bertemu. Harap yang akan datang ada perubahan," kata Baharom Mohd Darus, 64.

Seorang penjual buah yang berkongsi pandangan sama menyifatkan Zamrah sebagai "keturunan raja".
"Rafie ni bagus masa dia jadi Adun dulu. Apa-apa kenduri-kendara sakit kematian semua dia sampai. Hari-hari boleh jumpa. Zamrah ni keturunan raja, susah nak jumpa," katanya.
Namun ada juga pengundi yang mengatakan akan terus menyokong PH berdasarkan rekod parti itu dalam mewakili Ampangan serta mentadbir negeri.
Zarina Kasmani, 58, dari Kampung Gedong Lalang percaya Menteri Besar Aminuddin Harun telah menjalankan tugas "cemerlang" dalam membangunkan negeri, selain berpuas hati dengan khidmat Zamrah sebagai wakil rakyat.

Pertarungan sengit di Sikamat
Terletak di pinggir bandar Seremban, Sikamat mempunyai 34,103 pengundi berdaftar dan pada PRN kali ini kawasan itu akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara PN, PH dan Bersatu.
Sikamat suatu ketika dahulu pernah menjadi kubu BN sebelum menjadi kubu PH selepas Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun, merampas kerusi itu pada 2008 dan berjaya mempertahankannya dalam tiga pilihan raya selepas itu.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan itu kali ini berpindah ke Linggi dan kerusi Sikamat akan ditandingi oleh bekas setiausaha politiknya, Nor Azman Mohamad.
Namun, mampukah Azman yang pernah menjadi pemimpin pemuda PAS memperoleh sokongan mencukupi untuk meneruskan legasi Aminuddin bagi satu penggal lagi?

PH dipercayai berdepan cabaran sukar untuk mempertahankan kerusi itu daripada calon PN-Wawasan, Razali Abu Samah yang juga bekas pegawai kanan polis dan Tun Faisal Ismail Aziz daripada Bersatu.
Corak pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan walaupun PH menjadi gabungan terkuat di Sikamat, BN dan PN secara keseluruhannya mempunyai sokongan besar di kawasan tersebut, masing-masing memperoleh 23 peratus dan 35 peratus daripada jumlah undi.

Ini menunjukkan sekiranya BN dan PN bertanding sebagai sekutu dalam pilihan raya negeri 2023 seperti sekarang, pertandingan itu mungkin menjadi lebih sengit dan berpotensi menggugat usaha Aminuddin Harun untuk mendapatkan penggal keempat.
Azman juga perlu menangkis persepsi terhadap DAP, salah satu komponen PH yang dilihat negatif oleh sebahagian pengundi Melayu.
"Kita tak mahu Cina DAP ni naik. Dia naik banyak perubahan untuk dia, dia buat. Untuk Muslim tak ada la," kata peniaga pasar malam, Ramli Mustapa, 73.

Sejumlah pengundi turut menyalahkan PH terhadap keadaan ekonomi yang dikatakan lebih perlahan berbanding zaman BN, selain dasar kerajaan negeri yang didakwa menyukarkan kehidupan peniaga.
Seorang perunding perniagaan yang ditemui di Taman Paroi Jaya berkata dia pernah menyokong PH sejak 2018 tetapi kini mahu memberi peluang kepada BN-PN.
"Dulu sokong PH sejak 2018 tapi sekarang nak tukar BN. Sebelum ni tak pernah undi BN tapi sekarang nak swing. First sebab ekonomi, zaman BN lebih bagus business.
"Sekarang PH banyak cakap pasal data-data ekonomi naik apa semua tapi kat bawah tak rasa," katanya.
Bagi pengusaha trak makanan, Afriyelni Amril, 35, dia berharap BN kembali mentadbir negeri itu bagi membantu golongan peniaga.

Walaupun tidak menafikan pentadbiran Aminuddin membantu peniaga kecil, dia mendakwa pihak berkuasa tempatan melaksanakan dasar lebih ketat terhadap penjaja jalanan sejak PH mengambil alih daripada BN.
Katanya, usaha mencantikkan kawasan menyebabkan penjaja dipindahkan dari lokasi asal dan perlu menyewa kemudahan daripada pihak berkuasa tempatan.
"Zaman Tok Mat (Mohamad Hasan) banyak kemudahan. Bila PH ni dah banyak sangat dia punya prosedur. Itu ini tak boleh," ujarnya.
Pertarungan sengit di Labu
Sementara itu, di Labu yang mempunyai 32,884 pengundi dan sedang mengalami pembangunan pesat kerana kedudukannya berhampiran KLIA, penyandang daripada Bersatu, Hanifah Abu Baker berdepan persaingan sengit daripada calon PH Faez Abdul Razak dan calon BN Siti Nur Umaira Hasim.
Pada 2023, Hanifah yang berasal dari Kampung LBJ menewaskan calon PH Ismail Ahmad ketika pengaruh Bersatu dalam PN dan fenomena "gelombang hijau" berada pada kemuncaknya.

Dengan dinamika politik baru apabila PN menyokong BN dalam pertandingan di kerusi berkenaan, ramai pengundi yang ditemui Malaysiakini berpandangan usaha Hanifah mempertahankan kerusi tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.
Pandangan pengundi terhadap prestasinya sebagai wakil rakyat berbeza. Ada yang mendakwa jarang melihat kehadirannya sebagai bekas ketua pembangkang Negeri Sembilan, manakala sebahagian lain memuji usahanya membantu penduduk terutama di kawasan LBJ.
Umaira, 36, pula berdepan cabaran memperkenalkan dirinya kepada pengundi Labu yang sebahagiannya melihat dia sebagai calon baru yang hanya muncul menjelang pilihan raya.
Mewakili gabungan BN-PN mungkin menjadi kelebihan kepada ketua Puteri Umno itu kerana penyokong tegar Umno dan PAS lazimnya mengundi berdasarkan garis parti, seperti Abdul Hamid Sahat, 71, dari Kampung Kondok.
Namun, pengundi lain serta penyokong BN berkata pencalonannya adalah sesuatu yang mengejutkan.
Mereka mendakwa Umno di kawasan itu sebelum ini mahu mencalonkan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rasah, Irwan Mohd Suhid atau lebih dikenali sebagai Iwan Labu, yang sudah lama berkhidmat di kawasan tersebut.

Terdapat spekulasi bahawa pencalonan Umaira mungkin berkait dengan bapanya, Ketua Umno Bahagian Rasah Hasim Rusdi, yang pernah menjadi Adun Labu selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.
Sementara itu, Faez, 41, menerima pujian daripada ramai pihak atas khidmatnya sebagai penyelaras PH Labu, jawatan yang disandang sejak 2024.
Peniaga Redzuan Markat, 55, serta seorang bekas tentera dari Kampung LBJ yang hanya mahu dikenali sebagai Maidin, 59, berkata pemimpin PKR Negeri Sembilan itu sering membantu mereka yang memerlukan, termasuk memberikan katil rawatan dan kerusi roda untuk warga emas di kawasan Felda.

"Anep dia bagus, anak tempatan, cucu peneroka Felda LBJ. Dia telefon dia 24 jam untuk rakyat, dia bagi (bantuan) tak kira parti.
"Tapi penyelaras (Faez) pun bagus juga. Semua bagus. Dia banyak bantu. Maira tu kita tak kenal. Dia tumbuh macam cendawan lepas hujanlah," kata Maidin yang menyatakan sokongan kepada penyandang kerusi berkenaan.
Seorang lagi penduduk Kampung Kondok yang hanya dikenali sebagai Rubi, 26, pula menyokong Faez kerana menyifatkannya sebagai calon yang rajin.

Bagaimanapun, walaupun popular, Faez turut berdepan cabaran sama seperti Azman di Sikamat apabila naratif anti-DAP turut mempengaruhi 74 peratus pengundi Melayu di Labu.
Abdul Hamid, ahli Umno dari Kampung Kondok, berkata dia akan terus mengundi BN atas faktor bangsa dan agama selain rasa terhutang budi kepada bapa Umaira.
"Kita sekarang ni siapa jaga bangsa agama raja ikut rukun negara itulah orangg yang kita tengok.
“DAP dengan PAP tu orang yang sama. Tak mahu jadi macam Singapura," ujarnya.

Begitu juga Kamarulzaman Fadly, 39, yang menyambut baik kerjasama politik BN-PN selain turut menyatakan kebimbangan mengenai dakwaan keistimewaan Melayu semakin terhakis.
Isu Tabung Haji
Sementara itu, tinjauan sepintas lalu mendapati laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji yang baru diterbitkan mungkin mempengaruhi sebahagian pengundi atas pagar, namun masih belum dapat dipastikan sama ada isu itu mampu memberi kesan besar terhadap keputusan pilihan raya.
Ini walaupun pemimpin PH giat menggunakan laporan tersebut untuk mengaitkan skandal itu dengan Umno dan BN apabila Tabung Haji didakwa mengalami kerugian berbilion ringgit ketika pentadbiran gabungan itu.
Sebagai contoh, Redzuan yang sememangnya penyokong PH percaya laporan itu akan memberi kesan besar kepada orang Melayu dan Islam seperti rakan-rakannya di Kampung LBJ.
Menurutnya, ramai daripada mereka mula mengeluarkan simpanan Tabung Haji dan memasukkannya ke dalam pelaburan unit amanah.

Namun, Kamarulzaman yang juga berasal dari kampung sama berkata isu itu tidak mengubah pendiriannya kerana "penyatuan Melayu lebih penting".
"RCI? Bagi saya saya tak rasa ada impak. Sebab lebih pentingkan orang kitalah, orang Melayu la senang. Penyatuan Melayu lebih penting," tegasnya.
Sementara itu, pekerja kilang Abdul Fatah Abdul Latif, 29, berkata dia belum membaca laporan penuh tersebut tetapi mengakui ia akan membantu dirinya membuat keputusan mengenai calon yang akan dipilih pada hari pengundian.





