Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan bahawa taklimat hariannya akan bertindih dengan tugas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku jurucakap kerajaan.
Sebaliknya, setiausaha akhbar kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Abaidah berkata, taklimat harian itu sebagai pelengkap kepada tugas Fahmi.
“Taklimat harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja perdana menteri, penjelasan beliau mengenai isu-isu semasa yang mendesak, serta arahan-arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
"Manakala perananan Fahmi selaku jurucakap kerajaan Madani bertanggungjawab untuk memastikan segala penjelasan isu dan persoalan berhubung dasar-dasar kerajaan, serta keputusan yang dibuat di dalam mesyuarat jemaah menteri dimaklumkan kepada rakyat," kata Nashrul dalam taklimat pertama pagi tadi.
Taklimat itu akan disiarkan secara langsung di media sosial pada jam 11 pagi dan 5 petang setiap hari, tanpa penyertaan sebarang media.





