Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JAKOASM) membidas kenyataan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor (gambar atas) yang menyifatkan isu tanah melibatkan Orang Asli sebagai retorik.
Pengerusinya, July Lanchong berkata, kenyataan Ramli yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat adalah tidak bertanggungjawab kerana bagi masyarakat Orang Asli isu tanah adalah persoalan hak untuk hidup dan mati.
Dia menegaskan, sejak zaman-berzaman Orang Asli hidup kerana tanah.
Malah ujarnya, daripada sejarah, adat budaya, kepercayaan, sumber makanan, ubatan, hinggalah kepada pengetahuan dan pandangan dunia sebagai Orang Asli yang unik dan berbeza daripada kaum-kaum lain dalam negara ini, semuanya berkaitan tanah yang dimiliki serta diguna pakai secara tradisional.
“Tanah ini telah diwarisi sebelum sistem persekolahan wujud lagi di tanah Semenanjung Malaysia. Sebelum adanya pekerjaan di luar maka hasil dari tanah inilah yang menyara nenek moyang kita sehinggalah ke generasi kini.
“Perlu diingat, bukan semua dalam masyarakat Orang Asli sejak azali berpendidikan tinggi. Hidup mati mereka baik individu, keluarga, komuniti adalah bergantung kepada hasil tanah. Malah sehingga saat ini menghantar anak-anak ke universiti pun tidak semata-mata mengharap duit biasiswa atau bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Orang tua di kampung masih perlu mengusahakan dan mengirim wang belanja anak-anak yang belajar. Dari manakah mereka dapat duit itu? Dari hasil kebun di atas tanah tradisional mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada Isnin lalu, Ramli ketika menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat menegaskan mengenai kepentingan pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli.
Dia menegaskan “retorik tanah” tidak akan memajukan masyarakat Orang Asli.

“Dalam masyarakat saya Orang Asli, tanpa pendidikan mereka tidak boleh maju. Retorik tanah, tanah, tanah, tidak akan memajukan masyarakat Orang Asli.
“Jadi yang paling mustahak bukan sahaja bagi masyarakat Orang Asli di Semenanjung ini, (juga) masyarakat Orang Asli atau asal di Sabah dan Sarawak kita perlu terutama sekali dari segi teknologi dan TVET,” katanya.
Mengulas lanjut July menasihatkan Ramli agar jangan terlalu sombong untuk menyatakan pendidikan sahaja boleh ubah hidup Orang Asli.
Jelasnya, sudah terbukti selama ini walaupun Orang Asli dikatakan miskin, papa kedana tapi belum lagi sampai turun ke kaki lima di bandar dan pekan-pekan untuk minta sedekah.
“Kenapa? Kerana Orang Asli masih ada kampung, hutan dan tanah adat mereka.
“Oleh itu pada saya, kenyataan isu tanah adalah satu retorik merupakan satu penghinaan kepada keupayaan Orang Asli untuk berfikir kendiri dan menilai apa yang baik dan buruk atau yang bernilai dengan yang tidak,” katanya.
Tambahnya lagi, Orang Asli tidak seharusnya diarah atau didorong untuk memilih sama ada tanah atau pendidikan kerana kedua-duanya penting dan kedua-dua hak ini harus dilindungi dan diiktiraf.
“Kita jangan lupa selama ini ramai yang dapat pendidikan dan jadi penjawat awam, bekas Jakoa, bekas polis, bekas tentera dah pencen mereka balik kampung dan kembali usahakan tanah juga untuk meneruskan hidup.
“Bukannya semua orang pencen dan terus menetap di bandar. Tapi ramai yang balik kampung juga. Berkebun dan masuk hutan semula untuk meneruskan kehidupan sebagai Orang Asli.
“Walau sudah berpendidikan dan berkerjaya dan menetap dan menikmati hidup di bandar sekali pun, apabila meninggal dunia, jika namanya Orang Asli, jasad tetap dikebumikan di tanah kampung jua,” kata July.





