29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 5, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Persatuan haiwan gesa pihak berkuasa jawab persoalan operasi tangkap Rocky

    Shopee Sale

    Persatuan Haiwan Malaysia (SAFM) menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan berhubung beberapa persoalan penting berkaitan kematian anjing peliharaan bernama Rocky ketika operasi tangkapan oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

    Antara perkara yang dibangkitkan SAFM ialah sama ada terdapat arahan rasmi bagi menjalankan operasi berkenaan, pihak yang mengetuai operasi, individu yang menangkap haiwan itu serta penglibatan orang awam dalam tindakan tersebut.

    Presiden SAFM, Kalaivanan turut mempersoalkan jenis peralatan yang digunakan ketika operasi menangkap anjing berkenaan.

    "Siapa yang memasang, memegang dan mengawal alat itu? Adakah Rocky ditarik atau diheret semasa operasi? Apakah tindakan pegawai ketika Rocky masih berada dalam jerutan? Mengapa jerutan itu tidak dilepaskan lebih awal?” soal Kalaivanan dalam sidang media "Justice for Rocky" di Petaling Jaya hari ini.

    Dia turut menggesa MBDK mendedahkan rekod operasi serta laporan penuh berhubung insiden berkenaan.

    Menurut Kalaivanan, SAFM menerima aduan daripada pemilik Rocky, Roghini Devi melalui WhatsApp rasmi persatuan itu pada 30 Julai lalu sebelum meneliti rakaman video, dokumen dan maklumat saksi berkaitan kejadian.

    Katanya, SAFM turut menasihatkan Roghini supaya menggunakan saluran rasmi dengan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), selain membantu menyelaras bantuan guaman ketika dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

    "Peranan SAFM bukan untuk mengambil alih tugas PDRM atau DVS. Peranan kami adalah membantu pengadu mendapatkan panduan, sokongan dan akses kepada saluran yang betul supaya perkara ini dapat disiasat secara teratur dan berdasarkan bukti.

    "Kami mahu kes ini bergerak melalui proses sebenar, bukan berhenti sekadar satu video tular," katanya.

    Sebelum ini, tular di media sosial video yang memaparkan kematian Rocky ketika ditangkap penguat kuasa MBDK di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

    Menurut Kalaivanan, berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian itu berlaku pada 29 Julai kira-kira jam 10.50 malam di lokasi berkenaan.

    Dia mendakwa Rocky dipukul pada bahagian kepala sebelum ditangkap, manakala Roghini mendakwa anjing itu masih berada dalam jerutan pada leher ketika tiba di lokasi.

    MENARIK:  Insiden perkauman menurun pada 2023: Laporan

    Roghini turut mendakwa tangan kanannya dipukul menggunakan kayu dan ditarik ketika cuba menyelamatkan Rocky.

    Bagaimanapun, Kalaivanan berkata SAFM tidak membuat sebarang kesimpulan mengenai punca kematian Rocky kerana perkara itu perlu ditentukan melalui pemeriksaan dan siasatan rasmi DVS.

    Pada masa sama, dia berkata isu pelesenan haiwan peliharaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kebajikan haiwan ketika operasi dijalankan.

    "Jika terdapat pelanggaran berkaitan lesen, perkara itu boleh disiasat dan tindakan boleh diambil secara berasingan.

    "Namun isu lesen tidak menjawab persoalan tentang cara Rocky dikendalikan ketika operasi.

    “Ketiadaan lesen tidak memberi hak kepada sesiapa untuk menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor haiwan," katanya.

    Mengulas dakwaan MBDK bahawa operasi itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP), Kalaivanan berkata SAFM merujuk kepada Pekeliling Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2015 yang menetapkan anjing perlu ditangkap secara berhemah dan tidak boleh ditarik, disentap, diheret atau diangkat menggunakan gelung.

    Sehubungan itu, SAFM meminta MBDK menjelaskan nombor aduan atau arahan operasi, individu yang mengetuai operasi, pihak yang menangkap dan mengendalikan Rocky sama ada pegawai, kontraktor atau orang awam terlibat, serta kuasa yang diberikan sekiranya orang awam mengambil bahagian dalam operasi tersebut.

    Kalaivanan turut menggesa DVS dan PDRM menjalankan siasatan secara telus supaya semua fakta dapat diperoleh melalui proses siasatan, bukan hanya berdasarkan rakaman video yang tular.

    Katanya, kes itu bukan sekadar membabitkan seekor anjing peliharaan, sebaliknya membuka ruang kepada kerajaan negeri Selangor untuk meneliti semula SOP berkaitan operasi penangkapan haiwan.

    "Kami tidak kata jangan tangkap. Kami kata tangkap dengan secara berhemah dan tidak perlu ada unsur-unsur keganasan terhadap haiwan," katanya.

    Sementara itu, Presiden Malaysian Association of Companion Animal Medicine Industry (MACAMI), Salehatul Khuzaimah Mohammad Ali berkata, kes berkenaan wajar dijadikan pengajaran supaya kejadian sama tidak berulang.

    Katanya, isu anjing terbiar memerlukan penyelesaian jangka panjang, manakala SOP penangkapan haiwan perlu sentiasa ditambah baik supaya kebajikan haiwan dan keselamatan awam dapat diseimbangkan melalui kaedah yang lebih berperikemanusiaan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah