Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan polis ketika perarakan oleh Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) di luar Parlimen pada Isnin lalu.
Dia berkata tindakan yang diambil polis atas pertimbangan untuk menjaga ketenteraman awam.
Pada masa sama, Saifuddin berkata dia memahami usaha yang dilakukan (TBH-ADA) bagi mendapatkan keadilan buat mendiang Teoh Beng Hock.
"Saya simpati terhadap apa yang terjadi pada Teoh. Saya juga terbuka dengan gerakan yang membawa isu Teoh.
"(Namun) Dalam menjalankan tugas untuk menjaga ketenteraman awam, mereka (polis) ada pertimbangan pada saat itu," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Perarakan TBH-ADA ke Parlimen dihalang oleh rantaian yang dibuat polis dan anggota sukarelawan Rela kira-kira 100 meter dari pintu masuk.
Ketegangan juga tercetus antara peserta perarakan dan anggota polis.
Sementara itu, Saifuddin mengambil maklum polis telah menangguh untuk mengambil keterangan aktivis yang terlibat.
"Saya difahamkan oleh ketua polis negara yang rakaman keterangan aktivis ditangguh. Jadi saya rasa ada penyelesaian untuk tujuan itu," katanya lagi.
Berhubung hasrat TBH-ADA untuk menuntut pampasan daripada Saifuddin atas kecederaan ketika perarakan, setiausaha agung PKR itu berkata dia belum menerima apa-apa maklumat, selain apa yang dibaca di media.
"Saya belum terima apa-apa," katanya ringkas.
[Baca berita asal]





