Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini diberitahu, pencerobohan tanah adat Kampung Kelaik di Gua Musang menyukarkan masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar berpindah dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan itu apabila berlaku kematian.
Ahak Uda, 58, sebagai plaintif pertama yang memberi keterangan dalam saman tuntutan tanah adat itu berkata, akibat pencerobohan seperti pembalakan, perlombongan dan perladangan yang dilakukan defendan pertama hingga ke-10 telah menyukarkan mereka meneruskan amalan berkenaan.
"Sehingga kini, seramai 202 penduduk Kampung Kelaik membina rumah menggunakan sumber semula jadi seperti buluh dan rotan, selain mengusahakan pertanian, memburu, menangkap ikan serta mengutip hasil hutan sebagai sumber makanan dan perubatan tradisional.
"Kami menduduki dan memiliki tanah ini dari generasi ke generasi, bukan sahaja untuk punca pendapatan tetapi juga bagi tujuan keagamaan upacara kerohanian dan perkuburan sejak turun-temurun," katanya.
Perbicaraan kes tuntutan saman sivil oleh penduduk Orang Asli dari Kampung Kelaik terhadap 14 entiti termasuk kerajaan Kelantan di mahkamah tinggi berlangsung selama empat hari, bermula hari ini.
Pada perbicaraan hari pertama itu, plaintif yang diwakili peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal, Rajesh Nagarajan dan Ambbi Balakrishnan mengemukakan Ahak sebagai saksi pertama bagi memberi keterangan di hadapan hakim, Hasbullah Adam.
Plaintif memfailkan saman itu pada Mac 2021 bagi pihak diri mereka dan penduduk Kampung Kelaik untuk memohon pengisytiharan bahawa mereka adalah pemilik sah tanah pusaka terbabit.
Mereka menamakan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd, Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd sebagai defenden pertama hingga ke-10.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan kerajaan negeri selaku defendan ke-11 hingga ke-14.
Perbicaraan bersambung esok.





