Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan golongan pekerja sebagai pemangkin utama dalam mencipta sebuah negara hebat dan berdaya saing.
Anwar berkata setiap individu yang bekerja, sama ada di kilang, jabatan kerajaan, klinik, sekolah, balai polis atau mana-mana sektor, memainkan perananan penting dalam menggerakkan perubahan dan mencatat kejayaan negara.
“Negara ini masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global, termasuk tindakan sesuka hati kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
“Namun, kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam. Tidak kira sektor mana, pekerja yang berpegang kepada nilai keikhlasan dan kepercayaan kepada negara pasti menyumbang kepada pembentukan negara hebat,” kata Anwar.
Perdana menteri berkata demikian dalam amanat khas pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
-Bernama





