MUKTAMAR PAS | PAS meluluskan usul mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan 'mafia korporat' selain memperkukuh kuasa negeri membendung aktiviti perjudian.
Tidak ketinggalan desakan agar kerajaan persekutuan menghentikan pemberian lesen judi.
Mengenai penubuhan RCI untuk menyiasat 'mafia korporat', usul tersebut menyatakan, sebarang dakwaan mengenai wujudnya jaringan berkepentingan yang boleh mempengaruhi tindakan penguatkuasaan atau keputusan korporat perlu disiasat secara bebas dan menyeluruh.
Menurut kertas usul itu, isu 'mafia korporat' mendapat perhatian susulan laporan media antarabangsa mengenai dakwaan kewujudan jaringan ahli perniagaan yang menggunakan pengaruh serta tekanan penguatkuasaan untuk mendapatkan kepentingan atau kawalan ke atas syarikat tertentu.
"Walaupun dakwaan tersebut belum dibuktikan dan SPRM menafikan penglibatan, keseriusan isu ini memerlukan penelitian yang telus dan berwibawa," kata usul yang kemukakan pada Muktamar ke-72 di Kota Bharu, hari ini.
Pada Feb, Bloomberg melaporkan wujud jaringan 'mafia korporat' yang dipercayai menyasarkan syarikat tertentu melalui tekanan dan tindakan penguatkuasaan.
Isu itu kemudiannya dibangkitkan di parlimen, manakala Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa siasatan bebas kerana dakwaan tersebut melibatkan integriti institusi penguatkuasaan, keyakinan pelabur dan kedaulatan undang-undang.
SPRM pada 24 Feb lalu sudah menafikan penglibatan pegawainya dan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PDRM.
Putrajaya pula pada Julai lalu memaklumkan cadangan penubuhan RCI boleh dipertimbangkan setelah mengambil kira hasil siasatan yang sedang berjalan.
Perkemas undang-undang PBT
Usul yang diterima untuk dibahas itu dibentangkan oleh perwakilan Pemuda PAS, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir, dan dibahaskan perwakilan PAS kawasan Bangi, Muhammad Afiq Muhammad Khazar sebelum diluluskan sebulat suara.
Sementara itu bagi usul mendesak kerajaan menghentikan pemberian lesen judi, ia menyorot pendekatan kerajaan Kedah yang tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian.
Langkah itu didakwa menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri melaksanakan tuntutan Islam dan membendung kesan sosial serta moral akibat perjudian.
Bagaimanapun keputusan berkenaan dicabar melalui proses perundangan dan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun 2024 membenarkan semakan kehakiman sebelum Mahkamah Rayuan pada 12 Dis 2025, menerusi keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan kerajaan Kedah.
PAS berpandangan, perkembangan itu menunjukkan keterbatasan ruang kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil pendekatan lebih tegas terhadap premis perjudian apabila perkara berkaitan perjudian dan pelesenannya tertakluk kepada pembahagian kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Justeru muktamar menggesa Putrajaya melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baru.
Selain itu, kerajaan negeri khususnya negeri-negeri SG4 disaran memperkemaskan undang-undang dan dasar PBT serta mekanisme pentadbiran berdasarkan nasihat perundangan supaya tindakan membendung aktiviti perjudian dapat dilaksanakan berasaskan undang-undang yang kukuh.
Usul yang diterima tanpa bahas itu dibawa oleh PAS kawasan Baling.
Secara keseluruhan Muktamar PAS kali ini menerima 33 usul, namun sebanyak 26 usul ditolak.
Usul mendesak Putrajaya menghentikan pemberian lesen judi itu antara tiga usul yang diterima tanpa bahas yang dibentangkan Ketua Penerangan PAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar PAS ke-75, Ahmad Fadhli Shaari.
Dua lagi usul diterima tanpa bahas ialah untuk mendesak kerajaan mengambil langkah menyeluruh menangani kos sara hidup dan pemerkasaan Ameerah (wanita muda) sebagai sayap penting parti.
Selain usul RCI menyiasat dakwaan 'mafia korporat' - tiga lagi usul diterima dan diluluskan melibatkan pemerkasaan agenda penyatuan ummah, reformasi masa kerja dan tenaga kerja kesihatan dan memperkasaan rantaian pengeluaran padi beras negara.





