Walaupun Najib Razak telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan namun penyokong setianya termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan kekal yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah. Alasan mereka mudah: Najib, tidak seperti individu lain, tidak melarikan diri.
Timbalan menteri kerja raya itu berkata kesediaan bekas perdana menteri berdepan proses perundangan menjadi bukti jelas keyakinan bahawa dia tidak besalah.
Ahmad berkata demikian kepada Umno Online selepas merasmikan mesyuarat agung dwitahunan Kelab Sahabat Najib Razak 87 di ibu pejabat parti itu semalam.
“Kelab Sahabat Najib Razak cukup yakin bahawa beliau tidak bersalah walaupun sedang menjalani hukuman.

"Kalau mereka tak bersalah, kenapa mereka lari," kata Ahmad Maslan merujuk kepada individu yang melarikan diri tanpa menamakan sesiapa.
“Kalau mereka yakin benar, baliklah… bela diri. Yang bersalah ialah yang lari. Najib Razak pula berani turun naik mahkamah saban tahun dan yakin bahawa tidak bersalah.
“Ada beberapa orang yang lari tidak balik-balik dan Najib Razak berhadapan di mahkamah kerana keberaniannya dan keyakinannya bahawa beliau tidak bersalah,” katanya lagi.
Ahmad, yang juga timbalan ketua Umno Johor berkata dia terus berharap dan berdoa agar Najib mendapat keadilan sewajarnya.

“Saya doakan kesejahteraan Najib Razak dan mudah-mudahan ada cahaya di hujung terowong terhadap pembebasan beliau, dengan pelbagai kaedah yang difikirkan, maka kita terus berdoa untuk beliau,” katanya.
Turut hadir majlis Kelab Sahabat Najib Razak 87 itu ialah isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.
Najib didapati bersalah pada 2020 dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC International. Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada enam tahun.
Disember lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam perbicaraan keduanya berkaitan skandal 1MDB.

Najib didakwa menyeleweng hampir RM2.3 bilion daripada dana kekayaan berdaulat negara.
Dia dijatuhi empat hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan salah guna kuasa, serta lima tahun bagi setiap 21 pertuduhan pengubahan wang haram, dengan hukuman berjalan serentak.
Pemimpin Umno sebelum ini sering mempertikaikan pendakwaan terhadap Najib, dengan menyatakan bekas perdana menteri itu tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, berulang kali menegaskan bahawa Umno kekal komited untuk memastikan Najib dibebaskan.





