Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan akaun Facebook aktivis sosial Arumugam Dorasamy disekat untuk akses pengguna internet di Malaysia.
Melalui maklum balas e-mel kepada Malaysiakini, MCMC mendakwa tindakan itu dibuat susulan penerbitan kandungan berterusan yang didapati memudaratkan, termasuk unsur perkauman dan sensitiviti agama.
Menurut suruhanjaya itu, kandungan berkenaan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.
Bagaimanapun, MCMC menjelaskan sekatan itu tidak membabitkan semua akaun media sosial milik aktivis yang lebih dikenali sebagai Arun itu.

"Tindakan tersebut tidak melibatkan kesemua akaun media sosial Arun. Beliau turut mempunyai akaun media sosial lain yang kekal yang boleh diakses dan tidak tertakluk kepada sebarang tindakan oleh MCMC kerana kandungan yang diterbitkan melalui akaun tersebut tidak didapati memenuhi ambang tindakan pengawalseliaan.
"Walau bagaimanapun, bentuk tindakan yang dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan media sosial termasuk sama ada sekatan dikenakan terhadap kandungan tertentu atau akses kepada akaun berkenaan adalah tertakluk kepada dasar dan mekanisme penguatkuasaan pemberi perkhidmatan tersebut.
"MCMC tidak menentukan bentuk pelaksanaan teknikal yang dipilih oleh pemberi perkhidmatan tersebut. Tindakan yang diambil oleh MCMC adalah berdasarkan kehadiran unsur kemudaratan dalam kandungan yang diterbitkan dan bukannya disebabkan oleh status individu berkenaan sebagai seorang aktivis," kata suruhanjaya itu.
Sebelum ini, Arun mengesahkan kepada Malaysiakini akaun Facebooknya dikenakan sekatan oleh MCMC sejak Mac lalu.

Menurutnya, akaun itu hanya boleh diakses pengguna di luar negara.
"Ya, saya sahkan MCMC menyekat akaun Facebook saya untuk pengguna internet di Malaysia. Ia hanya boleh akses kepada pengguna yang berada di luar negara.
"Akaun disekat sejak Mac tahun ini. Saya telah menulis surat kepada MCMC. Tapi, tiada sebarang maklum balas," katanya kepada Malaysiakini.
Semakan Malaysiakini sebelum ini mendapati hantaran Facebook Arun berhubung jemputan sidang media laporan SPRM terhadap Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar sudah tidak dapat diakses.

Laporan itu berkaitan kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka, yang menyebabkan kematian tiga lelaki.
Arun dikenali menerusi penglibatannya dalam kes Indira Gandhi, merujuk pertikaian hak penjagaan anak dan kehilangan anak Indira yang dikaitkan dengan bekas suaminya, yang kini masih diburu polis.
Pada 17 Mac 2026, Arun didakwa di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang atas pertuduhan membuat kenyataan yang didakwa bertujuan menimbulkan keresahan umum mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Pertuduhan itu berpunca daripada sebuah video yang dimuat naik di Instagram pada 12 Mac 2025, yang didakwa menyeru pertubuhan Hindu mengadakan protes terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth.

Mengulas lanjut, MCMC berkata pihaknya sentiasa menghormati dan melindungi hak kebebasan bersuara seperti termaktub bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
"Namun demikian, hak tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta tertakluk kepada lunas undang-undang, ketertiban awam dan kepentingan negara.
"Dalam melaksanakan fungsi pengawalseliaan terhadap kandungan memudaratkan dalam talian, MCMC mengambil pendekatan yang tiga seimbang dan bertindak berdasarkan laporan yang diterima serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Seperti yang telah dijelaskan, MCMC tidak mengeluarkan sebarang arahan atau permohonan khusus untuk menurunkan poster jemputan sidang media yang dirujuk.
"Sebarang tindakan yang diambil oleh MCMC adalah berdasarkan kandungan memudaratkan yang dilaporkan dan bukan bertujuan menyekat akses kepada maklumat yang sah atau aktiviti pelaporan media," kata MCMC.





