MCA menafikan dakwaan parti itu berhasrat meninggalkan BN, seperti yang dilaporkan portal berita yang memetik sumber dalaman MCA Kuantan.
Dalam kenyataan hari ini, Penerangan MCA menyifatkan laporan berkenaan sebagai tidak tepat.
"Apa yang dicadangkan dalam mesyuarat MCA Pahang antara ketua-ketua bahagian pada minggu lepas adalah sama ada MCA wajar menarik diri dari 'kerajaan perpaduan', dan bukannya dari BN.
"Justeru itu, MCA kecewa apabila wujudnya salah terjemahan atau salah faham dalam laporan media berkenaan, dan berharap pembetulan akan dibuat dalam masa terdekat.
"MCA mengulangi pendirian bahawa kami akan terus kekal bersama BN seperti yang dinyatakan oleh presiden, Wee Ka Siong pada 23 Ogos 2024 semasa menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2024," kata Penerangan MCA.
Sebelum ini, sebuah akhbar bahasa Cina melaporkan MCA Kuantan mengusulkan pengunduran parti itu dari BN.
MCA Kuantan dilaporkan menjadi bahagian MCA pertama yang mencadangkan perkara itu, menurut laporan itu yang memetik sumber.
Sementara itu, Penerangan MCA menegaskan mereka sudah 50 tahun bersama BN dan terus bertekad menjunjung prinsip BN yang dibawa sejak dulu.
Malah, katanya, MCA berulang kali menekankan komitmen untuk mengembalikan era kegemilangan BN.
Seperti yang ditekankan Wee, sebarang masalah yang timbul akan dibincangkan secara musyawarah dan konsensus, katanya lagi.
"MCA memahami wujudnya suara dari kalangan ahli kami dan juga dari pihak luar bahawa MCA patut meninggalkan BN dan bergerak solo. Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, MCA menghormati semua pandangan.
“Namun semua hal akan dibincangkan secara mendalam terlebih dahulu oleh kepimpinan parti sebelum pendirian atau hala tuju parti ditentukan,” katanya lagi.





