31.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 27, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    MB Selangor ziarah ibu arwah Syamsul, ikrar beri sokongan terbaik

    Shopee Sale

    Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, hari ini menziarahi ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, Ummu Haiman Bee Daulatgun, dan berjanji memberikan sokongan terbaik kepada pihak keluarganya.

    Amirudin berkata kerajaan negeri memandang serius kes kematian membabitkan pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu walaupun ia berlaku di luar Selangor.

    "Saya datang sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga Ummu dan berikrar untuk memberikan sokongan terbaik, baik dari segi bantuan undang-undang, pemantauan siasatan, mahupun memastikan masa depan keluarga tidak terjejas.

    "Kita akan pantau perkembangan ini dan memastikan keadilan ditegakkan," katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarga Allahyarham di Semenyih.

    Bukan buli biasa

    Dalam pada itu Amirudin berkata dia percaya kematian Syamsul bukan berpunca kes buli biasa dan menegaskan gejala buli terutama yang melibatkan kekerasan fizikal sehingga mengancam nyawa, perlu ditentang sepenuhnya.

    "Berdasarkan beberapa pandangan yang diterima, insiden ini bukan sekadar isu buli biasa, tetapi mungkin berkaitan dengan budaya atau kerangka latihan dalam pasukan tertentu.

    MENARIK:  Mampukah Anwar abaikan kubunya?

    "Buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, baik fizikal mahupun bukan-fizikal.

    "Dalam kes ini, nampaknya ada elemen sentuhan fizikal yang sangat tidak wajar, tidak boleh diterima, dan harus ditentang sepenuhnya<“ tegasnya.

    Terdahulu, Amirudin menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga Allahyarham, diiringi Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, yang turut menyampaikan sumbangan bagi pihak polis.

    Turut hadir ialah peguam keluarga Syamsul, Naran Singh, dan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Johan Abd Aziz.

    Sebelum ini, Ummu memohon kebenaran mahkamah untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan bezah siasat kedua dan prosiding inkues.

    Permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam melalui firma guaman Messrs Naran Singh & Co, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, dan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.

    Ummu mendakwa terdapat unsur jenayah di sebalik kematian anaknya, terutamanya selepas mendapati kecederaan jelas pada jenazah allahyarham dan alasan yang bercanggah diberikan kepadanya berhubung kematian tersebut.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah