Polis menahan seorang lelaki memiliki 35 rekod jenayah dan dadah di parkir sebuah pasar raya di Bahau, Jempol selepas dia dipercayai terlibat dalam tiga kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah itu, dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat seorang wanita berusia 56 tahun yang rumahnya di Taman Acbe dipecah masuk pada 21 Okt.
“Hasil siasatan mendapati lelaki itu memanjat tembok pagar dan masuk ke rumah mangsa dengan membuka skru pada bahagian tingkap dapur kira-kira jam 5.30 pagi.
"Beberapa barang peribadi mangsa turut hilang dan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,500," katanya.
Hoo menambah suspek mengaku melakukan kegiatan pecah rumah dan mencuri seorang diri.
"Modus operanandi ialah memasuki mana-mana rumah yang tidak berpenghuni atau ditinggalkan sementara waktu dengan masa untuk melakukan kegiatan tersebut sekitar 3 hingga 6 pagi,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.
Menurut Hoo saringan awal mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis metamfetamina dan mempunyai pelbagai rekod lampau termasuk menjadi orang dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15 (4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Menurutnya suspek direman tujuh hari hingga 6 Nov ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.