Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya Rob Friend dan ketua jurulatih Peter Cklamovski ditamatkan.
Kontrak Friend ditamatkan pada 1 Jun lalu manakala Cklamovski dan dua staf teknikal Matthew Smith serta Seiya Imazaki berkuat kuasa pada 16 Jun 2026.
Menurut FAM, penamatkan kontrak itu dibuat melalui persetujuan bersama kedua-dua pihak.
Kontrak Ketua Jurulatih Pasukan bawah 23 tahun Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol Mohd Yazid Mohd Yassin turut ditamatkan atas persetujuan bersama, berkuat kuasa pada 15 Jun 2026.

“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan.
“Bagi memastikan kelancaran hala tuju dan kesinambungan program pasukan kebangsaan, FAM sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya berhubung pengisian jawatan-jawatan berkenaan.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai pasukan kebangsaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata FAM.
Friend dan Cklamovski antara dua pakar asing yang dibawa masuk bagi memperkuat skuad kebangsaan dalam rangka penstrukturan semula dua tahun lepas.
Harimau Malaya juga pertama kali diletakkan bawah pengurusan CEO berbanding langsung bawah FAM.
Bagaimanapun, dalam era ini Malaysia terpalit skandal penggunaan pemain warisan palsu menyebabkan pasukan negara terlepas ke Piala Asia dan jatuh ranking mendadak, walaupun menunjukkan hasil memberangsangkan pada peringkat awal.





