-
Dikemas kini dengan tambahan maklumat berkaitan drama itu.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama “Madu atau Racun” yang didakwa menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Zulkifli Hasan berkata pihaknya kesal dengan tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
“Penerapan unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung, agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata ajaran Islam mengutamakan pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang bertentangan sama sekali dengan nilai murni itu.
Sehubungan dengan itu, Zulkifli berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan, bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Memetik Bernama, katanya langkah itu penting, bagi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama.
Sementara itu, dia menyeru semua penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya sentiasa peka serta bertanggungjawab, dengan menjadikan garis panduan rasmi yang ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejaskan keharmonian norma masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh umat Islam bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan.
Zulkifli dalam laporan itu tidak menyebut secara khusus perkara yang tidak disenanginya.
Penyiar saran untuk tontonan 18 tahun ke atas
Madu atau Racun adalah drama enam episod yang disiarkan di iQiyi, platform penerbitan atas talian milik syarikat China Baidu yang menyiarkan filem dan siri TV China dan Asean.
Ia diterbitkan oleh MIG Production Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Metrowealth Movies Production Sdn Bhd) yang diterajui oleh pengarah filem terkenal David Teo sebagai ketua pegawai eksekutifnya.
Empat episod pertama drama enam episod itu boleh ditonton secara percuma sementara dua lagi episod terakhir hanya untuk tontonan VIP (berbayar).
Setiap episod panjangnya hampir sejam. Penyiar meletakkan amaran “untuk tontonan 18 tahun dan ke atas sahaja”.
Berikut sinopsis ringkas yang disiarkan oleh platform itu:
“Kehidupan Azura, seorang suri rumah yang patuh kepada suaminya, Adli musnah apabila Adli membawa pulang isteri keduanya kononnya demi mendapatkan zuriat yang tak mampu diberi Azura.
“Madu Azura, Nikita rupa-rupanya musuh Azura dari zaman sekolah menengah yang ingin membalas dendam, tetapi Azura tidak ingat wajah Nikita kerana penampilan yang berbeza.
“Kini terpaksa tinggal serumah, Nikita berusaha mengingatkan Azura siapa mereka sebenarnya manakala Azura mula bangkit merebut tempatnya di dalam rumah.
“Namun, apabila Adli mula menjadi raja, kedua-dua isteri itu harus memilih: kekal musuh, atau bekerjasama menentang musuh sebenar.”
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan penyiar dan produksi filem itu.





